Khairy
Rohaniza Idris dan Arfa Yunus
cnews@nstp.com.my

UMNO perlu dipulih dan diperbetulkan semula supaya parti itu dapat diterima rakyat pada masa depan.

Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, justeru tidak timbul soal sama ada kepimpinan parti itu perlu diterajui oleh orang muda atau orang lama.

Katanya, soal pokok adalah untuk memulihkan kembali parti bagi meneruskan kelangsungannya dan menjadi parti pembangkang yang berwibawa.

“Dalam proses pemulihan ini tidak semestinya kepemimpinannya ditukar dan diterajui orang muda atau mereka yang lebih tinggi tapi apa penting apa yang akar umbi inginkan.

”Saya bagi tahu Pemuda UMNO jangan terbawa-bawa dengan isu kepimpinan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Pemuda BN turut meminta seluruh ahli dan kepimpinan parti menerima tanggungjawab atas kekalahan pada pilih raya lalu dan tidak hanya meletakkan kesalahan itu kepada bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.

“Kena ada satu tempoh muhasabah diri sebelum kita membuat perubahan kepada UMNO.

“Kalau kita anggap ini kekalahan kerana seorang sahaja, kita tidak akan dapat belajar sesuatu,“ katanya.

Beliau berkata, pengundi walaupun menolak Barisan Nasional (BN) tapi masih berharap BN boleh mainkan peranan sebagai pembangkang.

“Mesej itu jelas dari rakyat kerana mereka mereka sentiasa menilai kerajaan. Perlu ada pembangkang untuk membetulkan kerajaan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai program yang dilaksanakan BN seperti Program Transformasi Nasional (TN50), katanya, terpulang kepada kerajaan baru sama ada mahu meneruskan dasar BN dan semua program itu perlu dinilai dari perspektif profesional bukan perkiraan politik.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 5:36 PM