Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply
hanneeyzah@nstp.com.my


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar memulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, 8.55 pagi ini.

Beliau tiba di Wisma Darul Iman 8.50 pagi sebelum naik ke tingkat 16 dan mengetip kad perakam waktu tepat 8.55 pagi.

Ahmad Shamsuri, 48, kemudian memasuki pejabatnya, sebelum turun ke Dewan Besar untuk menunaikan solat hajat bersama lebih 500 kakitangan Wisma Darul Iman.

Isterinya, Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, 49, turut mengiringi hari pertama beliau.


MENTERI Besar Terengganu yang baharu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut hadir menunaikan solat hajat bersama kakitangan pejabat Menteri Besar yang imamkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada hari pertama bertugas di Wisma Darul Iman. FOTO Ghazali Kori

Turut hadir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan barisan Exco kerajaan negeri.

Selesai menunaikan solat hajat, Ahmad Shamsuri kemudian menyampaikan ucapan ringkas kepada kakitangan awam.

Dalam ucapannya beliau berkata, kerajaan pimpinannya menggalas tanggungjawab besar untuk membawa Terengganu ke era baharu menuju negeri berkat dan sejahtera.

Beliau kemudian bersarapan bersama tetamu dan kakitangannya sebelum mengadakan sidang media.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:45 AM