TUAN Ibrahim Tuan Man
Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com


Kota Bharu: PAS meminta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, menubuhkan barisan Kabinet secara sempurna terlebih dahulu, sebelum sesuatu tindakan drastik diambil termasuk siasatan terhadap Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata situasi berkenaan juga menyebabkan Malaysia akan dipandang negatif oleh negara luar.

“Bagi PAS kita mengalu-alukan sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap mana-mana individu. Namun perlu berlaku adil dan kita jangan membalas dendam terhadap sesuatu pihak saja.

“Kerajaan baharu di bawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) ini perlu disusun secara sempurna terlebih dahulu. Jangan tergopoh-gapah buat siasatan, pecat ‘orang berkenaan’, sedangkan Kabinet belum dibentuk.

“PAS mengambil pendekatan tidak akan menuduh seseorang itu sehingga mereka dibuktikan bersalah oleh mahkamah,” katanya pada sidang media pada Majlis Jamuan Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di sini, semalam.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berharap PH menunaikan janji iaitu memberikan 20 peratus royalti minyak kepada Kelantan dan Terengganu.

“Kita juga berharap kerajaan baharu ini lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) dan rakyat akan menilai PH dalam masa lima tahun,” katanya.

Terdahulu, Tuan Ibrahim menerusi ucapannya berkata, tindakan ADUN BN yang lompat parti di Sabah dan Perak membuktikan parti itu tiada tunjang utama dan tidak istiqamah seperti PAS.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mei 2018 @ 10:37 AM