ADLY (kanan) ketika dijumpai di kediamannya di Seri Bendahara. FOTO Rasul Azli Samad

Oleh Amir Mamat dan Noor Azurin Mohd Sharif

cnews@nstp.com.my

*gambar fail

AYER KEROH: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Melaka akan memansuhkan jawatan Timbalan EXCO bagi membolehkan anggota EXCO memberikan fokus serta tanggungjawab diamanahkan kepada rakyat.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, pemansuhan jawatan Timbalan EXCO itu mampu mengurangkan kos pentadbiran, sekali gus membolehkan anggota EXCO melaksanakan tugas mereka dengan lebih baik.

“Pemansuhan (jawatan Timbalan EXCO) ini juga dapat mengurangkan kos yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri.

“Sebaliknya, lebihan kos itu boleh digunakan untuk tujuan lebih penting,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi Ketua Menteri, di Seri Bendahara, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Adly berkata, sekurang-kurangnya sembilan ahli EXCO negeri akan dilantik bagi memantapkan sistem pengurusan dan pentadbiran negeri pimpinan PH.

Beliau berkata, pelantikan yang akan diumumkan esok itu, meliputi semua wakil parti dalam PH dengan setiap daripada mereka akan diberikan portfolio yang bersesuaian dengan kebolehan masing-masing.

Antara yang disebut-sebut bakal dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Hilir yang juga Pengerusi DAP Melaka, Tey Kok Kiew; ADUN Durian Tunggal yang juga Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN), Mohd Sofi Abdul Wahab; ADUN Machap Jaya dari PKR, Ginnie Lim Siew Lin dan ADUN Paya Rumput dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Mohd Rafiq Naizamohideen.

Upacara mengangkat sumpah jawatan dan kerahsiaan semua EXCO berkenaan pula akan diadakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob, Rabu ini.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 8:32 PM