Aminuddin bersalaman dengan penduduk kampung selepas mengangkat sumpah pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan di Kampung Pachitan, Chuah.
Raja Noraina Raja Rahim dan Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
cnews@nstp.com.my


Kuala Pilah: “Kami memuji pentadbiran Datuk Seri Mohamad Hasan sebelum ini sangat bagus dan kami akan menjadikannya lebih bagus,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan yang baru, Aminuddin Harun pada sidang media pertamanya di Seri Menanti Resort di sini, semalam.

Aminuddin berkata, bagi tujuan itu beliau akan membentuk barisan Exco dan jumlahnya dijangka menyamai portfolio dilakukan pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

Katanya, barisan kanan pentadbiran kerajaan negeri belum diputuskan sama ada milik PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau Parti Amanah Negara (PAN).

Menurutnya, perkara itu dibincangkan tidak lama lagi malah pihaknya juga akan membantu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan pembangkang untuk kebaikan rakyat.

“Saya pernah merasa dua penggal bergelar wakil rakyat pembangkang dan peruntukan disekat. Kita lupakan kisah lama dan PKR akan membantu mereka (ADUN BN) untuk kebaikan bersama,” katanya.

Aminuddin pada masa sama mahu meneruskan dasar sedia ada yang memberi kebaikan termasuk pelaksanaan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) dan pengisytiharan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) sebagai bandar raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Mei 2018 @ 3:05 AM