KEADAAN tenang di hadapan Bangunan Peguam Negara. FOTO Ahmad Irham Mohd Noor
Irwan Shafrizan Ismail
irwansha@nstp.com.my


KAWAT berduri yang dipasang di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan termasuk Jabatan Peguam Negara sudah dibuka bermula petang tadi.

Ketua Polis Putrajaya, Asisten Komisioner, Rosly Hassan berkata, laluan ke sekitar kawasan pentadbiran yang sebelum ini ditutup kepada orang ramai juga sudah kembali dibuka.

“Kawat duri itu dipasang sejak penamaan calon lagi, lepas itu kita buka. Masa hari mengundi kita pasang kembali untuk keselamatan dan kawalan orang ramai.

“Sebelum ini kita buat sekatan dan pasang kawat duri itu berikutan belum ada keputusan parti mana yang akan menjadi kerajaan.

“Jadi bila Tun Dr Mahathir Mohamad selesai angkat sumpah sebagai Perdana Menteri, maknanya sudah ada kerajaan dan kita sudah selamat, jadi semua sekatan dan kawat duri yang dipasang sebelum ini sudah dibuka.

“Arahan serentak dikeluarkan kira-kira 4 petang tadi bagi membuka kawat duri berkenaan. Selain itu semua sekatan jalan di sekitar bangunan pentadbiran kerajaan juga sudah dibuka kembali untuk orang ramai petang tadi,” katanya ketika dihubungi di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar yang tular hari ini mendakwa bangunan Jabatan Peguam Negara di sini dipasang kawat duri susulan kenyataan Perdana Menteri hari ini bahawa Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mungkin akan disiasat berkaitan pembabitan dalam kes syarikat pelaburan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Rosly berkata, gambar yang ditukarkan mendakwa bangunan Jabatan Peguam Negara masih dipasang kawat duri hari ini adalah tidak benar.

Sementara itu Mohamed Apandi turut mengesahkan bahawa gambar yang ditularkan itu tidak benar.

“Itu tidak benar, kakitangan Jabatan Peguam Negara sudah boleh masuk dan keluar dari bangunan hari ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mei 2018 @ 1:08 AM