MUHYIDDIN (dua kiri) berucap pada sidang media PH Johor. FOTO Mohd Azren Jamaludin
Junita Mat Rasid; Mohd Sabran Md Sani dan Zarina Othman
cnews@nstp.com.my


PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau bukan calon Menteri Besar Johor yang baharu.

Katanya, namanya tidak ada dalam senarai itu kerana mahu memberikan ruang kepada ‘orang muda’.

“Saya buat keputusan itu bagi memberi ruang kepada orang muda.

“Masa saya boleh manfaatkan untuk memberikan banyak tunjuk ajar, nak kata mentor, mentor lah,” katanya.

Muhyiddin Yassin berkata, beliau sudah memberikan beberapa nama calon Menteri Besar kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan akan diputuskan sebelum majlis angkat sumpah Menteri Besar Johor yang akan diadakan 3 petang esok.

“Pemilihan calon Menteri Besar mengambil kira pengalaman dalam pentadbiran, pengalaman dalam politik, dia punya latar belakang, kelulusan, kelayakan dan pelbagai yang lain.

“Ini penting kerana kita sedar pengundi mengharapkan sesuatu yang pastinya lebih baik untuk memastikan agenda kita nak lakukan dapat dilaksanakan di bawah satu pimpinan kukuh dan berpengalaman,” katanya pada sidang media di Senai, hari ini.

Muhyiddin turut berkata, PH Johor akan menubuhkan Majlis Pembangunan Ekonomi sebaik kerajaan negeri dibentuk sedikit masa lagi.

Menurutnya, beliau bersetuju menawarkan khidmat bagi penubuhan majlis berkenaan.

“Apabila kerajaan negeri membentuk kerajaan negeri, saya ingin kemukakan cadangan supaya Majlis Pembangunan Ekonomi ditubuhkan.

“Saya sedia tawarkan khidmat di situ. Saya mahu diminati semua orang Johor dan jangan ada yang terkilan.

“Saya janji jadi jambatan Johor dan Persekutuan,” katanya.

Berita berkaitan

Sultan Johor umum MB esok

Muhyiddin menghadap Sultan Johor

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 5:49 PM