PENDUDUK menunjukkan buaya seberat lebih 160 kilogram dan sepanjang lima meter yang berjaya ditewaskan di Kampung Emplam, Kabong, Saratok. -Foto KHALID LATIP
Khalid Latip
cnews@nstp.com.my


BUNYI bising ayam dan itik peliharaan di bawah rumah penduduk membawa kepada penemuan buaya dewasa di Kampung Empelam, Saratok, hari ini.

Dikenali sebagai ‘penunggu’ Sungai Seblak, reptilia sepanjang lima meter dan berat lebih 160 kilogram itu ditangkap penduduk kampung pada 2.30 pagi.

Ketua Kampung Emplam, Boestamam Bakar, 65, berkata, terkejut dengan penemuan itu, pemilik rumah bergegas mendapatkan bantuan jiran yang berhampiran untuk menangkap reptilia berkenaan, lebih-lebih lagi dengan keadaannya yang agak agresif.

“Saiznya yang luar biasa mengejutkan penghuni rumah berkenaan. Haiwan pemangsa ini mungkin kelaparan dan naik ke darat untuk memburu makanan.

“Ketika kejadian, ia dipercayai cuba membaham ayam dan itik di bawah rumah itu. Bimbang dengan keadaannya yang agak agresif dan boleh membahayakan keselamatan, penduduk kampung mengambil keputusan menembak buaya berkenaan menggunakan senapang patah,” katanya.

Boestamam berkata, kejadian itu yang kedua dilaporkan berlaku di kampung berkenaan selepas insiden pertama membabitkan penangkapan buaya sepanjang empat meter, Januari lalu.

“Buaya berkenaan ‘tewas’ selepas tersangkut pada mata kail yang dipasang penduduk berhampiran jeti Kampung Empelam. Biarpun setakat ini tidak ada kecederaan mahupun kemalangan jiwa, namun kehadiran ‘sang bedal’ di kawasan ini cukup membimbangkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 5:02 PM