AHLI-ahli Badan Perhubungan PAS Negeri selepas mesyuarat khas di pejabatnya di Ipoh. FOTO Effendy Rashid
Muhammad Apendy Issahak
apendy@nstp.com.my


KEPUTUSAN sama ada PAS akan mewujudkan kerajaan campuran bersama Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) di Perak atau tidak memihak kepada mana-mana parti, hanya akan diputuskan oleh Majlis Syura parti itu.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, meminta ahli PAS Perak agar bertenang dan bersabar menunggu keputusan dibuat pucuk kepemimpinan parti.

Beliau dalam Facebook miliknya, hari ini, menulis status meminta semua ahli bertenang serta tidak terpengaruh dengan khabar angin atau kenyataan dibuat pihak lain berkenaan pendirian PAS Perak berhubung pembentukan gabungan kerajaan negeri.

"Assalamualaikum wbt.. Wahai para penyokong, pendokong Ansarullah.. Bersabar dan bertenanglah atas cabaran yang Pas Perak hadapi.. Keputusan belum diputuskan lagi kerana masih dalam perbincangan dengan Majlis Syura.

"Tidak boleh dengar daripada sebelah pihak baik BN/PH/media yang lain. Perlu faham keputusan kelak bukanlah daripada keputusan individu Pakteh (saya) tetapi daripada keputusan parti melalui Majlis Syura.. Sekarang adalah masa untuk kita menadah tangan, zikir berdoa kepada Allah agar ada sinar Islam di bumi Perak," katanya.

Sementara itu, Badan Perhubungan PAS Negeri turut mengadakan mesyuarat khas di pejabatnya di Medan Istana di Ipoh, hari ini.

Mesyuarat yang difahamkan dipengerusikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Muhammad Ismi Mat Taib, itu bermula 9.30 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian.

Usaha mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat yang diadakan itu, bagaimanapun gagal kerana kesemua ahli jawatankuasa itu enggan memberi sebarang komen dan hanya menyatakan keputusan akan dibuat oleh Majlis Syura.

Awal pagi semalam, Pengerusi PH Perak, Ahmad Faizal Azumu dalam sidang media mengatakan akan memohon perkenan untuk mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bagi mendapatkan nasihat untuk membentuk kerajaan negeri.

Pihak PH difahamkan akan memohon mengadap Sultan Perak di Istana Kinta di sini, 3 petang ini.

Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pula dalam satu kenyataan media malam tadi mengesahkan sudah mempunyai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dan turut memohon perkenan mengadap Sultan Perak.

Dalam pada itu, terdapat khabar angin yang lebih menggemparkan mengatakan berlaku gerakan memujuk beberapa calon BN yang memenangi kerusi DUN untuk melompat parti dan bergabung dengan PH.

Desas desus kuat mengatakan terdapat beberapa calon BN termasuk bekas EXCO bergelar Datuk yang akan berpaling tadah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mei 2018 @ 2:04 PM