UCAPAN tahniah yang dinaikkan Azharina di akaun Instagram miliknya. -Foto IG Azharina
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI, Azharina Azhar, 33, membalas tindakan netizen yang mempersoal tindakannya memuat naik gambar Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad di Instagram miliknya yang disertakan dengan ucapan tahniah di atas kemenangan besar Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), semalam.

Satu komen netizen mempersoalkan ucapan tahniahnya itu kerana beberapa jam sebelum itu, penyanyi lagu Elegi Sepi itu membuat persembahan di satu acara anjuran Barisan Nasional (BN).

“Saya menyanyi di acara itu sebagai tanda sokongan kepada Datuk Seri Azalina Othman Said kerana saya tahu, beliau adalah pemimpin yang bekerja keras serta berwibawa membangunkan kawasan Pangerang, Johor.

“Tetapi, itu tidak bermakna saya menyokong pucuk pimpinan BN,” katanya kepada Harian Metro.

Tambah Azharina, dia membesar pada zaman Tun memerintah dan sentiasa mendoakan kesejahteraan pemimpin disegani itu.

“Saya membesar dengan negarawan kita. Saya tak sanggup melihat apabila beliau digelar nyanyuk, tua dan gila!

“Doa saya, semoga Tun sentiasa sihat dan kembalikan Malaysia kepada kita semua. Saya mahu melihat beliau sekali lagi memimpin Malaysia agar menjadi maju dan dikagumi dunia, bukan dihina.

“Hidup Tun. Kami sayangkan Tun,” katanya.

Dalam muat naik bersama gambar Tun, Azharina menulis keterangan ringkas dengan luahan rasa bangganya.

“Kami rakyat Malaysia sayangkan Tun Mahathir. Bangsa Malaysia sudah bersuara. Negarawan kita,” tulisnya.

Muat naik itu menerima lebih daripada 21,000 ‘like’ dan lebih 200 komen yang rata-rata, menyokong dan berkongsi luahan perasaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mei 2018 @ 5:06 PM