MAHATHIR (tengah) menjawab soalan media di Petaling Jaya, malam tadi. FOTO Luqman Hakim Zubir
Nazura Ngah; Fairul Asmaini Mohd Pilus; Nur Lela Zulkipli dan Seri Nor Nadiah Koris
cnews@nstp.com.my


TUN Dr Mahathir Mohamad kembali ke Parlimen selepas menewaskan penyandang kerusi Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dalam saingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Ia berdasarkan keputusan tidak rasmi sehingga jam 11 malam tadi.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu kembali bertanding selepas kali terakhir bertanding pada PRU 1999 di Parlimen Kubang Pasu.

Anak beliau, Datuk Seri Mukhriz yang juga Timbalan Presiden PPBM turut kembali menguasai kerusi Parlimen Jerlun, selain menawan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra.

Selain mengekalkan Parlimen Pagoh yang disandang sejak lima penggal lalu, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menguasai DUN Gambir.

Muka baru, Ketua Pemuda PPBM Syed Saddiq Syed Abdul Rahman membuat kejutan menewaskan penyandang kerusi Parlimen Muar yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim.

Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang berpindah kerusi Parlimen dari Permatang Pauh ke Pandan turut menewaskan pencabar dalam saingan lima penjuru.

Sebelum ini, Dr Wan Azizah menyandang kerusi Permatang Pauh selama empat penggal sejak PRU 1999.

Timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berjaya mengekalkan kerusi Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa yang masing-masing dimenangi sejak PRU-12.

DAP menerusi Ketua Parlimennya Lim Kit Siang turut mengekalkan penguasaan di kerusi Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah untuk penggal kedua.

Anak beliau, Lim Guan Eng juga mempertahankan kerusi Parlimen Bagan dan DUN Air Putih.

Pemimpin utama Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu juga membuat kejutan memenangi kerusi Parlimen Kota Raja dalam cubaan pertamanya selepas tidak bertanding pada PRU-13.

Timbalannya, Salahuddin Ayub kembali menguasai Parlimen Pulai selepas tewas pada PRU-13, selain turut memenangi kerusi DUN Simpang Jeram.

Sementara itu, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengekalkan kemenangan di kerusi Parlimen Marang untuk penggal ketujuh, manakala anaknya, Muhammad Khalil yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS memenangi kerusi DUN Batu Burok untuk penggal pertama.

Timbalan Abdul Hadi Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpindah kerusi dari DUN Jengka ke Parlimen Kubang Kerian turut memangi kerusi itu.

Parti Warisan Sabah (Warisan) pula menerusi Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengekalkan kerusi Parlimen Semporna untuk penggal keenam selain menawan DUN Senallang.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 11:59 PM