AIDI. Foto Arkib NSTP
Zatul Iffah Zolkiply
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 19 jalan di Terengganu ditutup secara berperingkat bermula jam 4 petang ini untuk penjumlahan undi sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia membabitkan enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun, Besut dan Setiu.

Beliau berkata, semua jalan ditutup secara berperingkat bermula jam 4 petang hingga pengumuman keputusan PRU-14.

“Di Kuala Terengganu, ia membabitkan dua jalan iaitu hadapan Stadium Negeri (dari arah Batu Burok ke Bulatan Ladang) dan Jalan Pejabat sehingga Wisma Darul Iman, bermula jam 7 malam.

“Di Kuala Nerus, hanya satu jalan iaitu Jalan Lapangan Terbang Sultan Mahmud ditutup, manakala di Kemaman, lima jalan iaitu Jalan Sulaiman ke Air Putih, Jalan Mak Chili ke Bandar Chukai, Jalan Padang Astaka ke Bandar Chukai, Jalan Simpang 3 Wisma ke Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) dan Jalan Belakang Dewan MPK (Tadika), ditutup bermula jam 5 petang.

“Di Besut, lima jalan ditutup iaitu Jertih-Kampung Raja (Lampu isyarat Sekolah Cina), lencongan Jertih ke Kampung Raja (Jalan Haji Wan Latif dan Jalan Gong Nering), Kampung Raja-Jertih (Simpang Tiga Haji Wan Latiff), lencongan Kampung Raja ke Jertih (masuk Jalan Darang Buaya Gong Nering) dan Simpang Tiga Haji Wan Latiff ke Mak Sara,” katanya.

Aidi berkata, empat jalan ditutup di daerah Dungun iaitu jalan tepi pagar SMK Seri Dungun, sepanjang Jalan Merbok, Bulatan Sultan Omar dan Jalan Pejabat.

Dua jalan ditutup di Hulu Terengganu iaitu dari lampu isyarat Majlis Daerah Hulu Terengganu ke Bulatan Kampung Buloh dan lencongan Bulatan Kampung Buloh ke lampu isyarat Jalan Pasar.

Tiada jalan ditutup di Marang dan Setiu.

“Semua pengguna diminta mematuhi arahan bagi mengelak kesesakan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mei 2018 @ 3:41 PM