MUHAMMAD Nabil (gambar kecil) maut dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Rambai 1 ,Taman Rambai. -Foto AZHAR HASHIM
Azahar Hashim
cnews@nstp.com.my


“SELEPAS membeli nasi lemak di gerai saya, mangsa naik motosikal dan baru bergerak tidak sampai satu meter, secara tiba-tiba sebuah kereta merempuh motosikalnya dan mangsa melambung sebelum terhempas ke seberang jalan.”

Begitu cerita seorang peniaga nasi lemak yang hanya mahu dikenali sebagai Aishah, 50, mengenai kemalangan meragut nyawa penunggang motosikal Muhammad Nabil Roshisham, 18.

Dalam kejadian di Taman Rambai, Kulim pada 7.30 pagi hari ini, mangsa maut akibat kecederaan parah di badan dan kepala selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah Perodua Axia dipandu seorang lelaki.

“Mangsa baru selesai membeli nasi lemak di gerai saya dan hendak ke kedai minuman yang terletak berhampiran sebelum dirempuh kereta terbabit.

“Saya menjerit ketakutan apabila melihat mangsa melambung ke seberang jalan dan meminta orang ramai membantu mangsa,” katanya.

Difahamkan pemandu kereta terbabit yang datang dari arah Stadium Keladi terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh motosikal mangsa.

Aishah berkata, mangsa masih lagi bernafas dan mengerang kesakitan selepas rempuhan itu tetapi disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan yang tiba dengan ambulans, tidak lama kemudian.

“Arwah sering membeli nasi lemak di gerai saya, jadi saya sangat sedih apabila arwah terbunuh dalam kemalangan di depan mata saya.

“Mangsa tinggal di Taman Seri Mahkota bersama ibunya dan setiap hari sekiranya ibunya bekerja dia akan tinggal bersama bapa saudara di Kampung Keladi berhampiran taman ini,” katanya.

Sementara itu ibu mangsa, Nora Hamid, 46 berkata dia baru sahaja masuk bekerja di sebuah kilang di kawasan perindustrian Kelang Lama, hari ini apabila mendapat panggilan daripada abangnya memaklumkan kemalangan itu.

“Saya bergegas ke rumah abang sebelum dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Arwah anak bongsu daripada tiga adik beradik dan sejak dari kecil lagi arwah tinggal bersama bapa saudaranya jika saya keluar bekerja.

“Arwah seorang yang mudah mesra dengan sesiapa pun dan sentiasa murah senyuman,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kulim hari ini.

Nora berkata, kali terakhir dia bertemu arwah pada 7 pagi hari ini selepas menghantarnya ke rumah bapa saudaranya.

Katanya arwah tidak menunjukkan sebarang petanda pelik cuma awal bulan ini arwah meluahkan hajat ingin memakai jubah putih untuk sambutan hari raya.

“Arwah memaklumkan dia ingin memakai jubah putih pada sambutan Aidilfitri nanti, namun saya memaklumkan warna terbabit akan mudah nampak kotor jika terkena makanan dan tidak mengesyaki ungkapan arwah itu sebagai memberi apa-apa petanda.

“Jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Keladi, hari ini,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar ketika di hubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 5:28 PM