MAH beramah mesra dengan penyokong Barisan Nasional yang berkumpul di Padang Bandaran, Teluk Intan sebelum proses penamaan calon PRU14.

Nama Teluk Intan menjadi tumpuan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan pertengahan 2014 berikutan penyandangnya dari DAP, meninggal dunia akibat kanser.

Waktu itu, seluruh mata tertumpu ke arah pembabitan kuasa politik selain menentukan riwayat pembangkang terutama DAP selaku penyandang sama ada mampu mempertahan kerusi dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dengan majoriti selesa lebih 7,000 undi.

Malah, pertembungan ketika itu lebih kepada perjalanan hidup mati pembangkang yang ketika itu mula dilanda masalah ekoran perbalahan sesama mereka ketika bersama Pakatan Rakyat.

Sebaik diumumkan hari penamaan calon serta pembuangan undi, Barisan Nasional (BN) menamakan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong manakala DAP mencuba nasib dengan meletakkan calon Melayu, Dyana Sofya Mohd Daud dengan harapan mampu memujuk pengundi Melayu mengundi mereka.

Namun, umpan tidak mengena dan DAP menerima kesan selepas gagal mempertahankan kerusi parlimen yang dimenangi sejak PRU12.

Ia amat mengejutkan kerana jumlah dimenangi pada PRU13 tidak dapat menyelamatkan mereka dari terus bertapak di kerusi terbabit. Siew Keong kemudian diangkat sebagai menteri penuh selepas menang dengan majoriti 238 undi.


MAH beramah mesra dengan penghuni orang kurang upaya (OKU) ketika melawat Rumah Titian Ashraful Rohaniah di Kampung Selabak Luar, Teluk Intan.

Kemenangan Siew Keong sebenarnya didorong oleh pengundi Melayu yang sudah sedar daripada kesilapan kerana memilih pembangkang mewakili mereka pada PRU13.

Untuk PRU14, pembangkang meletakkan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming sebagai calon dan keputusan itu tidak lebih sebagai taktik untuk memanipulasi pengundi di kawasan itu.

Kali ini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, DAP (menggunakan logo PKR) dan PAS yang mempertaruhkan Dr Ahmad Ramadzan Ahmad Daud.

Teluk Intan mempunyai 66,487 pengundi iaitu Melayu 27,096 atau 40.7%, diikuti Cina, 26,653 (40%), India 12,376 (18.6%) manakala Lain-lain, 362 atau 0.005%.

Dalam konteks ini, penentu kemenangan calon BN terletak di tangan pengundi Melayu kerana mereka tentu menolak calon DAP manakala pengundi India dilihat sebagai backup kepada calon BN.

Untuk itu, masyarakat Melayu perlu berpandangan jauh, strategik dan mengundi secara bijak dan bukan berlandaskan emosi atau sentimen perkauman.

Mereka perlu bijak memilih pemimpin yang dapat membawa kemajuan dan kesejahteraan kepada komuniti. Ini kerana Teluk Intan adalah kerusi panas dan kemenangan ini berkemungkinan besar mempengaruhi keputusan keseluruhan di Perak.

Ramai penganalisis politik menjangka undi kaum Cina cenderung kepada Pakatan Harapan (PH) kerana elemen DAP. Disebabkan itulah undi Melayu dan India amat penting dalam menentukan siapakah yang akan menerajui kepemimpinan Teluk Intan.


MAH menyampaikan ucapan pada Jamuan Pesara Kakitangan Kerajaan di Sekolah Rendah Agama Rakyat An-Naim, Taman Seri Setia, Teluk Intan.

Di sini pengundi Melayu perlu menggunakan kebijaksanaan mereka mengekalkan kuasa negeri Perak di tangan parti yang memang nyata diterajui gabungan dipimpin parti Melayu.

Lazimnya, ada kecenderungan bagi pengundi Melayu untuk memilih calon Melayu, tanpa mengira parti diwakili. Adanya calon PAS di Teluk Intan kemungkinan besar memecah undi Melayu. Ini mendorong kepada pengurangan sokongan keseluruhan kedua-dua parti ini.

Namun begitu, kalau dilihat nisbah pengundi mengikut kaum di Teluk Intan, kebarangkalian PAS menang sangat tipis. Setiap undi Melayu untuk PAS, secara tidak langsung memungkinkan DAP meluaskan kuasanya di Perak.

Di sinilah perlunya masyarakat Melayu untuk menjadi lebih strategik dalam membuang undi. Pengundi perlu bijak memilih terutama Siew Keong kerana beliau anak jati Teluk Intan yang sentiasa dekat dengan rakyat.

Walaupun pernah tidak dipilih sebagai wakil rakyat, beliau masih berkhidmat kepada komuniti di Teluk Intan. Ini termasuk membawa projek berimpak tinggi yang boleh menjana ekonomi setempat seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) untuk golongan pertengahan M40.

Selain itu, beliau tidak gemar menggunakan taktik memburuk–burukkan lawan serta mudah didampingi masyarakat. Beliau sentiasa berfikiran jauh dan memikirkan cara untuk memajukan Teluk Intan dan memastikan komunitinya hidup sejahtera dan harmoni, seperti yang tertera dalam manifestonya.


MAH melihat keadaan penghuni di Rumah Tititan Ashraful Rohaniah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 11:11 AM