A Latiff bersama isteri, Norlia Harun (dua kiri) meluangkan masa melawat warga emas Noraizan Salleh, 64 di Kampung Durian Guling.
Helmy Abd Rahman dan Malik Muhamad
cnews@nstp.com.my

Marang: Cerita kejayaan Terengganu dalam bidang pendidikan bukanlah perkara baru dan saban tahun diterjemahkan menerusi kecemerlangan murid serta pelajarnya yang sering mencatat keputusan menakjubkan dalam peperiksaan awam.

Justeru, untuk memastikan kecemerlangan berterusan, menjadi tugas penting bagi pihak kerajaan negeri untuk memilih individu yang benar-benar layak untuk mengemudi hal pendidikan di negeri ini.

Bagi A Latiff Awang, meskipun bukan mudah, cabaran itu bukanlah sesuatu yang digeruninya, sebaliknya beliau menerima tugas sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri dengan hati terbuka.

Calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan itu berkata, beliau mempunyai visi bukan saja untuk mengekalkan kecemerlangan sedia ada, malah untuk membawa bidang pendidikan Terengganu ke satu aras baru.

“Sejak dilantik berkuat kuasa 1 Ogos 2016, saya sudah merangka dan melaksanakan pelbagai inisiatif serta program untuk meneruskan kecemerlangan murid dan pelajar Terengganu dalam UPSR (Ujian Penilaian Sekolah Rendah, PT3 (Pentaksiran Tingkatan Tiga), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), STPM (Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik),” katanya ketika ditemui, di Wakaf Tapai, semalam.

Bagi memastikan kelestarian dalam pendidikan, A Latiff sosok penting yang memanjangkan idea bernas kepada kerajaan negeri untuk memperkenalkan program tuisyen online kepada murid dan pelajar di Terengganu.

Hasilnya, negeri ini menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) Program Tuisyen Online Transformasi Terengganu Baharu (TTB) dengan menggunakan platform FullAmark Class NSTP.


A Latiff (tengah) bersama pelajar sekolah selepas menyampaikan beg dan hadiah kecermerlangan pada majlis Hadiah Kasih Sayang Bag2School di Sekolah Menengah Kebangsaan Belara, Manir.

“NSTP dipilih berikutan keyakinan kerajaan negeri terhadap kualiti produk yang disediakan selain mempunyai pengalaman luas menghasilkan bahan rujukan untuk peperiksaan di peringkat rendah dan menengah.

“Apabila mendapat idea mengenai program ini, kerajaan negeri menerusi portfolio saya mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) dan sebulat suara pilih NSTP kerana mempunyai sejarah pendidikan sejak sekian lama dan terbukti membantu ramai pelajar menerusi sisipan akhbar keluarannya.

“Pelaksanaan program ini juga untuk memperkasakan bidang STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) yang akan memacu negara menuju kemajuan selain untuk membudayakan murid serta pelajar dalam pembelajaran maya,” katanya.

Antara cabaran baru yang ingin dilepasi adalah untuk melahirkan saintis Islam anak Terengganu yang bukan saja hebat dalam bidang sains, tetapi seorang huffaz yang cemerlang dalam Islam seiring hasrat kerajaan negeri.

Mereka yang terpilih akan mendalami ilmu Islam antaranya penerokaan bidang aero angkasa, kejuruteraan dan perubatan yang akan menjadi perintis kepada lahirnya saintis Islam terulung bertaraf dunia dalam perkembangan ketamadunan Islam Terengganu.

“Kami sudahpun menghantar perintis bagi Program Saintis Islam yang kini sedang mengikuti kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Aero-Angkasa di Universiti Manchester, United Kingdom,” katanya.

Melihatkan kepada kedudukan strategik DUN Pengkalan Berangan yang disandangnya, beliau turut melahirkan idea menjadikan kawasan berkenaan sebagai hab pendidikan bagi negeri ini.

“Banyak institusi yang sudah dan akan dibangunkan di Pengkalan Berangan antaranya Tesdec (Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu), Kolej Matrikulasi dan UMT (Universiti Malaysia Terengganu) di Bukit Kor.

“Kami juga ada ILP (Institut Latihan Perindustrian), Kolej Komuniti Marang dan IKBN (Institut Kemahiran Belia Negara),” katanya.


A Latiff (tengah) bersama kaum Cina semasa berkempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di Pejabat Dun Pengkalan Berangan Wakaf Tapai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Mei 2018 @ 10:55 AM