PROJEK insinerator yang dicadangkan di tapak pemindahan sementara sampah, Bukit Beringin.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kepong: Masalah bau busuk berpunca daripada sisa tapak pemindahan sampah sementara di Taman Beringin di sini, yang mengganggu keselesaan pengguna Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dan penduduk setempat bakal berakhir seandainya projek insinerator dibangunkan kelak.

Penduduk, Abdul Karim Muhammad, 45, yang menetap satu kilometer dari tapak berkenaan berkata, mereka menyambut baik usaha membangunkan projek insinerator di tapak sedia ada yang boleh mewujudkan sistem pengurusan sampah lebih sistematik dan mesra alam berbanding kaedah pelupusan sampah secara konvensional.

“Kami tidak larat lagi menghidu bau busuk ini setiap hari kerana tapak ini dijadikan lokasi persinggahan sementara bagi memerah sampah sebelum diangkut ke tapak pelupusan sampah menggunakan kaedah kambus di Bukit Tagar.

“Bagi saya, asalkan projek insinerator ini memberi manfaat untuk semua penduduk, kami terima dengan hati terbuka. Kami sudah jelas bahawa teknologi ini lebih mesra alam dan secara tak langsung memberi peluang pekerjaan kepada anak muda pada masa depan,” katanya.

Bulan lalu, sebuah kumpulan aktivis Kuala Lumpur Tak Nak Insinerator (KTI) mendakwa mereka mewakili penduduk setempat bagi membantah projek pembangunan insinerator.

Bagi Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Sub Zon 2 Jinjang Utara, Othman Bashah Abd Rashid, 70, penduduk sudah memahami keadaan sebenar selepas mendapat penjelasan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sejak lebih lima tahun lalu mengenai rancangan membangunkan projek itu.

“Ingin kami tegaskan sebenarnya tidak timbul langsung isu penduduk membantah projek yang akan dibangunkan kerana ia adalah jawapan penyelesaian kepada masalah yang kami hadapi selama ini, jadi kami tidak sependapat langsung dengan KTI yang membangkitkan bantahan projek ini.

“KTI bukan wakil penduduk, malah kami tidak mengenali siapa mereka, jadi tidak sepatutnya mereka lantang bersuara kerana sebelum ini memang kami sendiri sudah pun menyuarakan isu masalah pelupusan sampah ini kepada pihak berwajib,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kepong, Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pada 2014 beliau bersama beberapa pihak termasuk wakil rakyat dan KTI berpuas hati selepas dibawa melihat sendiri keberkesanan teknologi insinerator yang beroperasi di empat lokasi tapak pelupusan sampah di Jepun.

“Kami mendapati gambaran teknologi baru itu menjadi penyelesai kepada masalah pelupusan sampah kepada lebih efisien dan mesra alam berbanding kaedah konvensional (teknik perah dan kambus) sepertimana yang masih digunakan di negara kita.

“Di Jepun, penggunaan teknologi ini tidak menimbulkan sebarang isu atau memberi kesan negatif kepada penduduk sekitar biarpun tapak projek insinerator itu berada dalam lingkungan hanya 50 meter dari kawasan kediaman mereka.

“Ini kerana apa yang menariknya hasil daripada kaedah pembakaran menggunakan teknologi itu, ia dapat menghasilkan tenaga boleh ubah (elektrik) yang akhirnya disumbangkan semula untuk kegunaan komuniti seperti rumah orang tua, kolam renang awam, taman permainan kanak-kanak dan pusat komuniti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 12:31 PM