DR Mohd Farid Ravi Abdullah.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sejak 1960-an, Malaysia sentiasa konsisten menganjurkan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) dalam usaha meninggikan syiar Islam dan memartabatkan al-Quran.

Kini, ketika menjangkau usia enam dekad, manfaat penganjurannya dirasai secara meluas bukan saja membabitkan rakyat tempatan malah turut berkembang dan dinikmati bersama umat Islam di seluruh dunia.

Bermula dengan hanya 13 peserta dari tujuh negara, kini lebih 80 negara menyertai pertandingan berprestij itu dengan menampilkan qari dan qariah terbaik untuk memperdengarkan bacaan merdu ayat-ayat suci al-Quran.

Pensyarah Kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Peradaban Islam, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, acara tahunan negara itu sudah meningkatkan kesedaran terhadap penghayatan al-Quran secara menyeluruh dalam kalangan umat Islam.

Katanya, musabaqah itu membuka mata masyarakat mengenai kesenian dalam pembacaan al-Quran secara berlagu atau bertaranum tanpa meninggalkan kepentingan tajwid iaitu melafazkan dan membunyikan ayat dengan sebaik-baiknya, seperti yang dituntut agama.

“Al-Quran kitab yang perlu dibaca, dihayati, difahami dan dilaksanakan dalam kehidupan seharian dan penganjuran tilawah ini selama 60 tahun berturut-turut menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memasyhurkan al-Quran dan meletakkan ia sebagai sumber utama dalam penyatuan ummah,” katanya.

Beliau berkata, penganjuran di peringkat antarabangsa itu juga mewujudkan hubungan baik dan mengeratkan lagi tali persaudaraan di antara Malaysia dengan negara Islam di dunia.

Malah, katanya, musabaqah itu berjaya menarik minat negara yang bukan majoriti penduduk beragama Islam seperti Australia, Belanda, Hong Kong, Belgium, Sepanyol, United Kingdom dan Sweden untuk bersama-sama menyertai acara itu dalam usaha mengagungkan kitab suci al-Quran.

“Dari segi penyatuan Islam itu jelas kelihatan walaupun peserta datang daripada pelbagai negara serta berlainan mazhab, namun bila tiba satu acara membabitkan al-Quran semuanya bersatu hati dan bersama menghayati keindahan bacaan yang diperdengarkan,” katanya.

Pensyarah di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zaid Ahmad berkata, mutu penganjuran yang sentiasa ditambah baik setiap tahun meletakkan Malaysia sebagai model rujukan terbaik kepada negara Islam lain dalam penganjuran acara seumpama itu.

Katanya, kelancaran program dan sistem penghakiman serta pemarkahan yang teratur juga menjadi faktor Malaysia mendapat pengiktirafan dunia termasuk Anugerah Penganjuran Program Al-Quran Terbaik oleh Kuwait International Prize of Holy Quran pada 2016.

Beliau berkata, kestabilan ekonomi yang dikecapi ketika ini juga membolehkan Malaysia terus menganjurkan program di peringkat antarabangsa.

“Walaupun Malaysia sebuah negara kecil namun penganjuran acara tilawah ini membuka mata dunia akan kebolehan negara dalam menganjurkan acara berprestij sekali gus menyumbang kepada kemasukan pelancong antarabangsa.

“Pengalaman​​ dan sumbangan negara dalam menguruskan majlis tilawah ini juga meningkatkan nilai pertandingan itu sehingga hadiah kemenangan yang ditawarkan semakin bertambah dari tahun ke tahun,” katanya.

MTHQA ke-60 akan berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 7 hingga 12 Mei ini dengan penyertaan 87 negara termasuk Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 12:24 PM