BAZLAN mendekati rakyat dengan menyampaikan bantuan banjir bagi rakyat miskin termasuk ibu tunggal dalam lawatan kerja di Pulau Redang.
Zarina Abdullah
cnews@nstp.com.my

Batu Rakit: Menerima pencalonan sebagai wakil Barisan Nasional(BN) di DUN Batu Rakit dengan rasa tanggungjawab untuk meneruskan kesinambungan pembangunan dan meletakkan semua keyakinan bahawa tugas besar adalah keutamaan dan cabaran Bazlan Abdul Rahman.

Bazlan, 54, memberikan khidmat cemerlang sejak memenangi kerusi DUN Batu Rakit pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bukan mudah untuk bertahan, namun itulah tanggungjawab yang wajib digalas bagi menegakkan kesinambungan perjuangan hampir lima tahun yang lalu supaya semua yang dirancang serta pembangunan yang berjalan tidak sia-sia.

Anak tunggal daripada keluarga nelayan yang dilahirkan di Kampung Pengkalan Atap merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiu dan juga bekas Setiausaha serta Jawatankuasa Bahagian Setiu serta mengetuai Umno di Batu Rakit sebelum diletakkan mantan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said bagi mengetuai gendang perang PRU13 di DUN Batu Rakit.

Guru yang sangat berjiwa rakyat dan dikenali sebagai mempunyai hard-core akar umbi, Bazlan tidak sombong dan tiada protokol dalam menangani permasalahan rakyat kerana semua orang dapat menemui beliau yang mesra dengan panggilan Pok Lan di mana saja tanpa perlu membuat sebarang temujanji.


Bazlan mesra bersama penduduk ketika lawatan kerja di Pulau Redang.

Bazlan yang berkelulusan Ijazah Sarjana Pendidikan Sekolah Rendah mempunyai sepasang cahaya mata bersama isteri Puan Zaimah Mahmood, kini Pengerusi Penyelaras DUN Batu Rakit dan Timbalan Setiausaha Badan perhubungan Umno Negeri.

“Perkara pertama yang dilakukan selepas Barisan Nasional memenangi kerusi DUN, saya akan menubuhkan satu jawatan- kuasa khas bagi membuat pelan pembangunan lima tahun di Batu Rakit.

“Ini penting supaya segala projek diberikan kepada DUN dapat dilakukan dengan tersusun serta lancar,” katanya.

Batu Rakit menerima tiga Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang baru dengan tambahan sehingga 7,575 pengundi.

Katanya, senario politik di tiga PDM berkenaan masih kabur untuk dianalisis dan selepas beberapa kali turun padang beliau dapat mengenal pasti ramai lagi pengundi masih dalam kekeliruan tentang di mana perlu mengundi apabila SPR mengumumkan pertukaran dan persempadanan, baru-baru ini.

“Sebelum hari mengundi Pok Lan turun padang bertemu pengerusi JKKK dan ketua cawangan PDM terbabit bagi mendapat gambaran lebih jelas situasi terkini pengundi kawasan berkenaan dan selepas itu Insya-Allah kami yakin dan percaya tiada apa yang membataskan kami untuk memenangi tiga PDM berkenaan,” katanya.


Bazlan tiada protokol dalam mendampingi rakyat.

Tiga PDM yang dimaksudkan kini di bawah DUN Batu Rakit adalah Kampung Mengabang Telung, Kampung Wakaf Tengah dan Kampung Mengabang Telipot.

“Terdahulu, Batu Rakit merekodkan 14,306 pengundi dan penambahan tiga PDM dengan pengundi 7,575 menjadikan jumlah pengundi 21, 881 orang,” katanya menambah tiga PDM asal yang tidak jadi memasuki Tepuh menyebabkan jumlah sebenar pengundi Batu Rakit meningkat lebih 23,000 pengundi dalam PRU14.

Bazlan berkata, semua bantuan seperti pembinaan rumah PPRT, pemberian dana persekolahan dan bantuan orang muda serta ibu tunggal menjadi kemestian dan Batu Rakit turut mempunyai pengundi BN tegar di Pulau Redang yang mempunyai lebih 900 pengundi.

Katanya sepanjang lima tahun lalu, Pulau Redang menerima limpahan pembangunan seperti perkampungan baru yang lebih selesa dari rumah rakit di atas air, sebuah klinik kesihatan yang baru serta balai polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Mei 2018 @ 11:44 AM