SUSPEK ditahan polis. FOTO Muhammad Sulaiman
Ruwaida Md Zain
cnews@nstp.com.my


PENGGUNA jalan raya di sekitar Klang pagi ini, digemparkan dengan kejadian seperti dalam filem aksi apabila seorang lelaki yang dikehendaki sejak 10 tahun lalu cuba melarikan diri daripada polis.

Malah, lelaki berkenaan memandu sejauh dua kilometer dari Persiaran Batu Nilam sehingga ke Taman Klang Jaya, sebelum kereta dipandunya bergesel dengan tiga kereta serta melanggar sebuah motosikal.

Bagaimanapun, lelaki itu yang turut membawa seorang wanita dan seorang kanak-kanak di dalam kenderaannya gagal meloloskan diri, selepas ditahan pihak berkuasa, 10.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, ketika menjalankan tugas rondaan, dua anggota unit peronda terserempak dengan sebuah kereta jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan sebelum mereka membunyikan siren.

"Pemandu kenderaan terbabit memecut dan anggota polis mengejar suspek.

"Lelaki berusia 37 tahun kemudian berjaya ditahan di Jalan Serunai 1, Taman Klang Jaya, kira-kira dua kilometer dari Persiaran Batu Nilam.

"Hasil pemeriksaan, polis menemui sebilah parang panjang di bawah kerusi pemandu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, semakan mendapati suspek dikehendaki sejak 10 tahun lalu membabitkan kesalahan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan iaitu mencuri kenderaan.

Selain itu, suspek dikehendaki berhubung kesalahan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan ketika merompak.

Beliau berkata, wanita dan kanak-kanak berkenaan sudah dibebaskan, manakala perintah reman terhadap suspek akan dipohon esok.

“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kes terbabit,” katanya.

Kejadian berkenaan sempat dirakamkan jurugambar NSTP yang ketika itu sedang dalam perjalanan untuk membuat liputan pilihan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 10:13 PM