TERAJU memikul peranan untuk memajukan perniagaan Bumiputera melalui pelbagai inisiatif.

Dalam usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera, pelbagai inisiatif yang dirangka kerajaan termasuk menyediakan bantuan daripada pelbagai agensi.

Selaras itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebuah entiti strategik di Jabatan Perdana Menteri (JPM) diberi mandat sebagai penyelaras tunggal bagi menerajui, memacu dan menyelaras penyertaan Bumiputera dalam ekonomi negara selaras dengan Pelan Transformasi Negara.

TERAJU adalah sekretariat kepada Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan bertindak sebagai Pengerusi TERAJU dipertanggungjawabkan untuk menyelia agensi ini.

Setiap inisiatif dan program yang dilaksanakan di bawah berdasarkan lima teras utama iaitu modal insan, ekuiti korporat, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan & perniagaan serta sistem penyampaian.

Sehingga kini, TERAJU menyediakan peluang perniagaan, pembiayaan perniagaan dan pembangunan modal insan, pelaburan swasta serta penciptaan nilai melebihi RM145 bilion.

Inisiatif ini dilaksanakan melalui pelbagai kementerian, sektor swasta, agensi kerajaan pelbagai peringkat dan koridor ekonomi.

TERAJU juga mengadakan kolaborasi dan menentukan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera dilaksanakan oleh kementerian menerusi Unit Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (UPEB) yang turut dikawal selia oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU).

Bagi pelaksanaan Agenda Bumiputera di peringkat syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula dikawal selia oleh Khazanah Nasional Berhad yang menjadi sekretariat kepada Jawatankuasa Putrajaya Bagi Prestasi Tinggi GLC (PCG).

Menerajui Agenda Bumiputera seperti digariskan dalam Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera selaras dengan Pelan Transformasi Negara lain termasuk Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Strategic Reform Initiatives (SRI) merentasi kementerian dan sektor.

Selain itu, TERAJU berperanan meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam ekonomi dengan mengenal pasti, membangun dan menjadi pemudah cara bagi pelaksanaan inisiatif berkaitan Agenda Bumiputera.

Ia juga memacu pelaksanaan Agenda Bumiputera melalui penerokaan inisiatif baru dan memperkenalkan pembaharuan terhadap instrumen sedia ada.

Selain itu, menyelaras pelaksanaan inisiatif pembangunan ekonomi Bumiputera melalui kerjasama strategik dengan agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sehingga Mac 2018, antara pencapaian TERAJU ialah pelaburan swasta Bumiputera (RM14.81 bilion), nilai dicipta selepas penyenaraian Skim Jejak Jaya Bumiputera (RM9.11 bilion) dan nilai keseluruhan limpahan ekonomi Bumiputera meliputi pelbagai program pembiayaan & modal insan (RM7 bilion).

SME Corp percepat pertumbuhan PKS

Selain TERAJU, Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp Malaysia) juga agensi berperanan membantu meningkatkan ekonomi Bumiputera.

SME Corp Malaysia Agensi Penyelaras Pusat di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang bertanggungjawab menggubal dasar dan strategi menyeluruh untuk Perusahaan kecil dan Sederhana Malaysia (PKS).

Ia juga menyelaras pelaksanaan program pembangunan PKS yang dikendalikan oleh semua kementerian dan agensi berkaitan.

SME Corp Malaysia berfungsi sebagai pusat rujukan utama untuk penyelidikan dan penyebaran maklumat berkenaan PKS serta menyediakan khidmat nasihat untuk PKS di Malaysia.

Agensi ini jugaberperanan sebagai Sekretariat kepada Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

SME Corp Malaysia bermula pada 2 Mei 1996 apabila agensi khusus ditubuhkan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi memacu pembangunan PKS melalui penyediaan kemudahan infrastruktur, bantuan kewangan, khidmat nasihat, akses pasaran dan program sokongan lain.

Kini, SME Corp Malaysia adalah organisasi utama menerajui pembangunan PKS yang progresif bagi meningkatkan kemakmuran dan kesejahteraan negara.

SME Corp Malaysia berusaha memperkasakan PKS dengan proses berkesan, model perniagaan yang kukuh, akses kepada sumber kewangan, perkongsian pintar, strategi memasuki pasaran dan penyelesaian pertumbuhan yang mampan, melalui pelbagai platform dan program demi pembangunan PKS.

Agensi ini juga menyediakan khidmat nasihat perniagaan dan maklumat untuk PKS di Malaysia menerusi Hab PKS dan 11 Pejabat Negeri di seluruh negara.

SME Corp Malaysia juga melaksanakan pelbagai program dan inisiatif di bawah kendaliannya sendiri termasuk program tahunan seperti Pameran Tahunan PKS (SMIDEX), Anugerah Enterpris 50 (E50) dan Minggu PKS.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mei 2018 @ 3:58 AM