Hanneeyzah Bariah Baharib
hanneeyzah@nstp.com.my


WARGA emas berputih mata apabila wang simpanannya berjumlah RM17,000 lesap selepas menjadi mangsa penipuan sindiket 'Macau Scam', Selasa lalu.

Wanita, 70, yang tinggal di Taman Mewah, Binjai Rendah, Marang mendakwa dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai kakitangan sebuah bank pada 11.30 pagi memaklumkan kononnya pinjaman berjumlah RM50,000 dibuat mangsa tertunggak selama tiga bulan.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Idris Abd Rafar berkata, mangsa yang pelik kemudian bertanya nilai tunggakan pinjamannya sebelum suspek menyambungkan panggilan kepada seorang lelaki yang kononnya anggota polis berpangkat sarjan.

Katanya, mangsa semakin panik apabila lelaki itu memaklumkan kononnya seorang pengedar dadah tersilap memasukkan wang ke dalam akaun banknya.

“Suspek meminta mangsa menyemak baki akaunnya untuk pengesahan sama ada benar atau tidak pengedar dadah itu tersilap memasukkan wang.

“Sebaik menyemak akaun banknya di sebuah bank, mangsa memberitahu suspek baki wang simpanannya berjumlah RM17,000 sebelum 'anggota polis' itu memintanya memindahkan wang ke akaun bank yang diberikan suspek,” katanya.

Katanya, akibat bimbang sebarang kejadian tidak diingini, mangsa tanpa berfikir panjang memindahkan wang secara atas talian ke akaun bank berkenaan dengan nilai keseluruhan RM17,000 pada hari sama.

“Mangsa yang tidak mengesyaki apa-apa kemudian bercerita kepada seorang rakannya mengenai kejadian sebelum menyedari ditipu selepas disedarkan rakannya itu.

“Warga emas itu kemudian membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu bagi membolehkan tindakan lanjut diambil," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 6:17 PM