MOHAMAD berucap sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 di Pusat Penjaja Jalan Maharaja, Bagan Serai, hari ini. FOTO L Manimaran
Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


“NO comment, everything ask lawyer (Tiada komen, semuanya tanya peguam),” itu reaksi Presiden Parti Amanah Negara (PAN) Mohamad Sabu atau Mat Sabu ketika ditanya mengenai isu fitnah terhadap dirinya.

Mat Sabu yang juga calon pakatan pembangkang di Parlimen Kota Raja terpalit kontroversi apabila beliau didakwa terbabit hubungan sulit dengan seorang wanita.

Dakwaan itu dibuat sekumpulan individu yang mengaku ahli PAN Cawangan Kuala Kedah pada sidang media di sebuah hotel di Kuala Lumpur, Khamis lalu.

Difahamkan, jurucakap kumpulan itu, Rizal Bakar mendakwa menerima rakaman audio dan tangkap layar (screenshot) perbualan melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa antara Mat Sabu dengan wanita itu kira-kira seminggu lalu yang ditinggalkan di cermin depan keretanya.

Mat Sabu yang ditemui ketika mengadakan kempen pakatan pembangkang di Pusat Penjaja Jalan Maharaja, Bagan Serai, bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen mengenai perkara itu.

Ditanya sama ada kontroversi itu menganggu kempen dijalankan pakatan pembangkang, Mat Sabu sekali lagi enggan memberikan sebarang komen.

Sementara itu, dalam ucapannya di pusat penjaja itu yang dihadiri kira-kira 50 penyokong pakatan pembangkang, Mat Sabu turut menempelak Naib Presiden PAS Idris Ahmad.

Menurutnya, Idris yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bukit Gantang tidak mungkin dapat mempertahankan kerusi itu kerana kemenangannya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) disebabkan undi penyokong pembangkang.

“Bukit Gantang nak menang apa lagi kawan tu (Idris), dulu dia menang kerana ada DUN (Dewan Undangan Negeri) Kuala Sepetang. Sekarang pengundi DUN itu semua mai (datang) sebelah kita, kita boleh dah tu (menang) Parlimen Bukit Gantang,” katanya.

Seperti biasa, Mat Sabu turut mengulangi ‘modal’ yang sering digunakan pakatan pembangkang dalam siri ceramah mereka iaitu akan menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) sekiranya mengambil alih kerajaan.

Berita berkaitan

Mat Sabu mahu ambil tindakan

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:58 PM