JALALUDDIN memeriahkan majlis menyertai acara dam aji bersama calon BN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali (duduk, dua kanan). FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap
news@nstp.com.my


“Dah lama tidak bermain dam aji, apabila diberi kesempatan bermain ketika melawat program anjuran belia FELDA Pasoh Dua, saya tidak lepaskan peluang itu.

“Ia sedikit sebanyak dapat meredakan sedikit tekanan selepas tujuh hari berkempen di sekitar Jelebu,” kata Datuk Jalaluddin Alias, calon BN Parlimen Jelebu.

Jalaluddin berkata, sebagaimana permainan dam aji yang memerlukan kemahiran berfikir dan strategi, beliau juga melakukan perkara sama bagi membolehkan BN mencapai kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini.

Katanya, BN ada strategi sendiri mengadakan pelbagai program santai yang dihadiri penduduk setempat dan tidak sesekali gusar dengan kempen serta ceramah pembangkang yang dihadiri orang ramai.

“Seperti program KitoPasoh2@santai sekampung yang dapat menghimpunkan pelbagai peringkat usia dengan menyertai pelbagai jenis acara.

“Saya juga gembira kerana dapat bermain permainan tradisional (dam aji) itu bersama penduduk,” katanya ketika ditemui NSTP.

Dalam Program KitoPasoh2@santai itu, turut hadir calon BN Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata, projek pembinaan dewan besar Jelebu dan kompleks sukan Jelebu yang menerima peruntukan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Belia dan Sukan sebelum ini akan bermula Ogos ini.

Katanya, ketika ini kerja pecah tanah giat dijalankan dan kedua-dua kemudahan asas itu akan dibina di atas tanah seluas tiga hektar di Simpang Pertang di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 1:59 PM