EMPAT rumah terbakar dalam kejadian di Jalan Tan Tooi, Pantai Remis, Manjung malam tadi. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


Empat rumah di Jalan Tan Tooi, Pantai Remis, Manjung, terbakar, malam tadi.

Bagaimanapun, kebakaran pada 8 malam itu tidak membabitkan sebarang kecederaan pada penghuninya. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai Remis menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.08 malam.

Katanya, sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dengan operasi turut dibantu anggota daripada BBP Ayer Tawar dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bagan Panchor.

“Kebakaran membabitkan empat rumah dua tingkat dan anggota yang tiba mendapati api sedang marak membakar rumah pertama serta kedua.

“Kejadian itu menyebabkan bahagian tengah rumah pertama musnah sebanyak 80 peratus, rumah kedua 70 peratus, rumah ketiga 30 peratus dan rumah keempat pula hanya terbakar 15 peratus,” katanya.

Menurutnya, ketika operasi pemadaman dijalankan tiupan angin yang agak kuat, namun tiada mangsa cedera dalam kejadian itu.

Katanya, operasi diketuai Pemangku Ketua BBP Pantai Remis, Alwi Ismail itu tamat pada 12.07 tengah malam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 8:56 AM