PIHAK KMFDB menjangka 2,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan feri pada hari mengundi. FOTO/FAIL
Mohd Idris Sulaiman
cnews@nstp.com.my


KONSORTIUM Mesra Feri-Duta Bhd (KMFDB) yang mengendalikan perkhidmatan feri antara Lumut-Pulau Pangkor, akan menyediakan perkhidmatan percuma kepada pengundi dari dan luar pulau untuk mengundi pada 9 Mei ini.

Pengerusi Eksekutifnya, Mohd Nasir Mohd Rashid berkata, pihaknya menjangka 2,000 penumpang akan menggunakan perkhidmatan feri pada hari mengundi sama ada di Lumut atau Pulau Pangkor, berbanding separuh bilangan penumpang pada hari biasa.

Beliau berkata, pihaknya bersedia menimbang untuk melanjutkan masa operasi sehingga 11.30 malam berbanding 8.30 malam pada hari biasa jika keadaan memerlukan.

“Tambahan perjalanan itu untuk memberi keselesaan kepada pengundi dan kakitangan yang bekerja di pulau itu untuk pulang membuang undi di kampung.

“Hasrat kami supaya tiada seorangpun tertinggal untuk membuang undi dan melancarkan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Mohd Nasir berkata, langkah itu sebagai membalas jasa kerajaan dan memberikan khidmat sosial kepada penduduk.

Katanya, sebelum ini banyak permintaan daripada pengundi supaya jadual perjalanan ditambah bagi membolehkan mereka dapat pulang membuang undi di tempat masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 1:22 AM