MUHAMMAD Syafiq (gambar kecil) ditemui lemas selepas mandi di peranginan Lubuk Memerang, Sungai Loh dekat Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham
cnews@nstp.com.my


REMAJA ditemui lemas selepas mandi bersama rakannya di kawasan peranginan Lubuk Memerang, Sungai Loh dekat Dungun, hari ini.

Dalam kejadian pada 12.30 tengah hari, mayat Muhammad Syafiq Ismail, 18, yang berasal dari Panji Alam, Kuala Terengganu ditemui 40 minit selepas dikatakan hilang.

Difahamkan, mangsa dan adiknya, Muhammad Sufian Ismail, 16, bersama 15 rakan sekampung pergi ke lokasi kejadian untuk mandi.

Mangsa sebelum itu dikatakan bersama lima rakan mengambil keputusan naik ke atas batu besar lalu terjun ke dalam air.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah berkata, dua rakan mangsa yang terjun sebelum itu selamat, namun mangsa yang terjun kemudian kelihatan terkapai-kapai dan hilang di dalam air.

Katanya, beberapa rakan mangsa cuba memberi bantuan, tetapi gagal sebelum mangsa tenggelam ke dasar sungai.

“Rakan mangsa kemudian meminta bantuan penduduk sebelum mereka melakukan gerakan mencari dan menyelamat yang berjaya menemui mayat mangsa kira-kira 40 minit kemudian,” katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 4:58 PM