GAMBAR hiasan
Hadzlihady Hassan
hadzlihady@nstp.com.my


POLIS menahan dua lelaki dan merampas ganja dalam serbuan di hadapan bilik gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Permatang Pasir, dekat sini malam tadi.

Dalam serbuan jam 7.30 malam itu, dua lelaki masing-masing berusia 25 dan 58 tahun juga didapati positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC).

Menurut sumber, sepasukan anggota polis yang melakukan rondaan pada mulanya melihat dua lelaki terbabit bersama enam lagi lelaki berada dalam keadaan mencurigakan di hadapan bilik gerakan itu.

“Hasil pemeriksaan polis menemui 3.4 gram ganja dalam beg hitam yang dipegang suspek berusia 58 tahun yang juga bekerja sebagai pemandu lori.

“Siasatan lanjut turut menemui 4.15 gram kanabis dalam poket seluar suspek berusia 25 tahun itu,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua suspek itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid mengesahkan kejadian dan penahanan dua suspek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mei 2018 @ 12:52 AM