KHALED (dua dari kiri) diiringi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (tiga dari kiri) meninjau keadaan jambatan baharu ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Menggantikan 4 Jambatan Sempit, di Jalan Sengkang, Bukit Gambir. -Foto ADI SAFRI
Badrul Kamal Zakaria
badrulkamal@nstp.com.my


“JAMBATAN baharu menggantikan empat jambatan lama yang sempit ini memberi kelegaan penduduk. Dulu banyak kemalangan berlaku di sini sehingga penduduk menggelarnya sebagai ‘jambatan puaka’,” kata penduduk Kampung Sengkang, Tangkak, Zolkifli Jamil.

Zolkifli, 54, langkah kerajaan menggantikan empat jambatan sempit itu memudahkan penduduk, tambahan pula laluan itu semakin sibuk kerana menjadi jalan pintas ke Jementah dan FELDA Bukit Serampang.

“Antara kemalangan paling mengerikan di jambatan lama yang sempit itu dan tidak boleh saya lupakan adalah penunggang motosikal putus tangan selepas bertembung dengan kenderaan lain.

“Malah, tangan yang putus itu hanya ditemui pada keesokan harinya.

“Laluan ini memang sibuk 24 jam kerana menjadi jalan pintas dari Pekan Bukit Gambir untuk ke Jementah atau FELDA Bukit Serampang, selain dilalui kenderaan berat yang mengangkut hasil kelapa sawit dan sayur.

“Jadi dengan adanya kemudahan disediakan kerajaan, memang kami bersyukur dan gembira,” katanya ketika ditemui, hari ini.


KHALED (kanan) diiringi Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Hamim Samuri (tengah) melakukan gimik perasmian sebagai menyempurnakan Majlis Perasmian Menggantikan 4 Jambatan Sempit, di Jalan Sengkang, Bukit Gambir. -Foto ADI SAFRI

Bagi Mustapa Sahod, 78, beliau dan penduduk sudah gembira dengan pembinaan jambatan baharu terbabit kerana bukan sahaja memudahkan perhubungan, malah diharapkan dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya di kawasan berkenaan.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membina kemudahan ini bagi manfaat penduduk kampung dan pengguna jalan lain.

“Kalau boleh, tambahkan lampu jalan berhampiran jambatan itu kerana agak gelap pada waktu malam,” katanya.

Sementara itu, Nora Mohd Yusoh, 50, berkata kawasan itu mencatatkan pembangunan pesat berbanding sebelum ini hanya laluan tanah merah dan jambatan sempit.

“€œAlhamdulillah, keprihatinan kerajaan membina sistem perhubungan ini memang banyak memberi manfaat kepada penduduk lebih-lebih lagi empat jambatan baharu terbabit yang pastinya memberi kemudahan kepada semua,” katanya.

Projek Menggantikan Empat Jambatan di Jalan Sengkang-Bukit Gambir yang bernilai lebih RM16 juta itu dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Projek terbabit yang dimulakan pada Mac 2016 dan siap sepenuhnya pada akhir April lalu kini mempunyai kelebaran 12.5 meter dan diharapkan akan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di kawasan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 3:28 PM