Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


POLIS Pahang menerima empat laporan dalam tempoh sehari membabitkan kes penipuan pinjaman wang tidak wujud melalui Facebook (FB) sehingga mengakibatkan kerugian RM11,760, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, dalam kes pertama, peniaga lelaki kerugian RM2,990 selepas diperdaya sindiket itu yang menawarkan pinjaman wang di FB di Raub pada 13 April lalu.

“Mangsa pada mulanya berminat untuk membuat pinjaman wang selepas melihat iklan di FB. Mangsa berusia 46 tahun itu bersetuju membuat pinjaman dan dia kemudian memindahkan wang beberapa kali untuk tujuan seperti yuran proses dan upah guaman.

“Bagaimanapun, selepas memindahkan wang berkenaan, mangsa merasakan dirinya ditipu kerana belum menerima wang pinjaman seperti dijanjikan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub, semalam,” katanya ketika dihubungi di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata, bagi kes kedua, juruteknik lelaki berusia 26 tahun kerugian RM3,520 selepas diperdaya syarikat iaitu GS Credit Financial Solution yang turut menawarkan pinjaman wang di FB pada 30 April lalu di Kuantan.

“Mangsa berhubung dengan seorang suspek sebelum bersetuju membuat pinjaman berjumlah RM10,000. Mangsa kemudian memindahkan wang secara berperingkat untuk tujuan yuran proses dan upah guaman.

“Namun sehingga kini mangsa tidak menerima wang pinjamannya dan dia membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam selepas berasa ditipu suspek,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kes ketiga pula membabitkan seorang pekerja kedai makan berusia 36 tahun yang kerugian RM2,080 selepas diperdaya sindiket menggunakan modus operandi sama di Bentong pada 25 April lalu.

“Wanita itu pada mulanya berminat untuk membuat pinjaman wang selepas melihat iklan di FB menggunakan nama Koperasi Ukhwah Malaysia Berhad.

"Mangsa berurusan dengan seorang suspek sebelum bersetuju untuk membuat pinjaman wang. Untuk itu, dia memasukkan wang ke dalam akaun diberikan suspek yang keseluruhannya berjumlah RM2,080,” katanya.

Mohd Wazir, bagi kes terakhir membabitkan seorang penjawat awam lelaki berusia 53 tahun yang kerugian RM3,170 ditipu sebuah dikenali sebagai Unicredit di FB pada 15 April lalu di Pekan.

“Mangsa ingin membuat pinjaman wang sebanyak RM10,000 dan dia memasukkan wang ke dalam akuan diberikan suspek untuk tujuan proses pinjaman berkenaan.

“Semua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 2:56 PM