ULAT teksi yang ditahan Penguatkuasa SPAD di Terminal KLIA dan KLIA 2. FOTO Ihsan SPAD
Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


EMPAT individu ditahan Penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di Terminal KLIA dan KLIA 2, selepas dikesan menjalankan aktiviti prebet sapu di lokasi itu, pagi semalam.

Operasi Khas Parasit yang disertai seorang pegawai dan 25 anggota itu dijalankan secara penyamaran bermula 8 pagi kelmarin dan tamat kira-kira 5 pagi semalam, selepas mendapat aduan daripada orang ramai.

Jurucakap SPAD berkata, hasil operasi, pihaknya menahan empat lelaki yang didapati memujuk pelanggan di terminal berkenaan dan tiga daripadanya adalah pemandu yang menggunakan aplikasi e-hailing yang berdaftar.

"Operasi dilaksanakan bagi membanteras kegiatan ulat dan kereta sapu di Terminal KLIA dan KLIA 2. Modus operandi operasi adalah secara penyamaran dan pemantauan melalui kamera litar tertutup (CCTV).

"Hasil daripada operasi yang dijalankan, Pasukan Penguatkuasa SPAD berjaya membuat tangkapan terhadap empat suspek masing-masing ulat kereta sapu dan ulat aplikasi. Kami turut menyita tiga kenderaan persendirian," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati, semua suspek memujuk dengan menawarkan perkhidmatan terhadap warga asing dan tempatan bagi membuat perjalanan di sekitar Puchong, Balakong, Seri Kembangan dan Kuala Lumpur dengan kadar bayaran yang dikenakan antara RM70 ke RM100.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010 kerana memujuk.

"Operasi ini dijalankan secara berterusan kerana pihak kami menerima banyak aduan daripada orang awam berhubung aktiviti ulat teksi. Pihak kami juga kesal dengan tindakan pemandu e-hailing yang menyalahgunakan aplikasi berkenaan.

"Taktik menggunakan aplikasi e-hailing ini dilihat semakin berleluasa sebagai satu daripada cara mengelak daripada ditahan kerana menjalankan prebet sapu. Sedangkan mereka memujuk penumpang terlebih dahulu tanpa menggunakan aplikasi berkenaan sebelum memasukkan butiran penumpang kononnya pelanggan yang membuat permintaan untuk mengambil mereka di lokasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 2:14 PM