LAM Thye (kanan) menerima anugerah khas daripada Shafie pada Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia, Hari Pekerja 2018 di Dewan Sri Pos. FOTO/MAHZIR MAT ISA
LAM Thye (tengah) bersama Pengarah Gamuda Engineering, Datuk Mohammad Imran Ismail (dua dari kanan) bergambar bersama murid-murid pada majlis perasmian program ‘Safety at School’ anjuran Gamuda Berhad yang diadakan di Sekolah Kebangsaan Pulau Meranti, Puchong. FOTO/MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN
Saadiah Ismail
saadiah_ismail@nstp.com.my


MAJLIS Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI MLC) memberi pengiktirafan anugerah khas kepada Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye pada Sambutan Hari Pekerja UNI MLC di Kuala Lumpur, semalam.

Pengiktirafan itu diberikan atas sumbangan berterusan beliau dalam memastikan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) berada pada tahap terbaik.

Lee berkata, pengiktirafan diterima itu adalah satu penghargaan daripada badan yang menaungi kesatuan sekerja, dan ia menjadi perangsang kepada beliau untuk terus menabur khidmat bakti kepada masyarakat.

“Saya tidak pernah berputus asa untuk terus berkhidmat bagi meningkatkan tahap KKP, dan menjadikan ia satu amalan dan budaya yang baik di semua tempat kerja sektor awam serta swasta.

“Sejak memegang jawatan Pengerusi NIOSH bermula 1994, ini antara agenda saya dan berharap ia dapat memberi kebaikan kepada semua pekerja,” katanya.

Lee sebelum ini pernah dianugerahkan Tokoh Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan 2005 daripada Majlis Negara bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Kementerian Sumber Manusia serta anugerah ‘Toastmasters International Communication and Leadership’ daripada TI District 51 atas dedikasi dan sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, pembangunan manusia, kesihatan, keselamatan, kemasyarakatan serta sosial.

Sementara itu, Presiden UNI MLC Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, pemilihan Lee dibuat berdasarkan pembabitan dan pengorbanannya dalam memperjuangkan isu keselamatan serta kesihatan pekerja di negara ini.

"UNI MLC yang dianggotai 102 kesatuan sekerja dan mempunyai lebih 550,000 ahli turut menganggap Lee sebagai sumber inspirasi untuk meningkatkan tahap KKP bukan saja di negara ini, tetapi juga di peringkat serantau dan global,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 8:27 PM