Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI tergamak membelasah isterinya termasuk menarik rambut serta mencekik leher wanita itu selepas mengesyaki mangsa mempunyai hubungan dengan lelaki lain dalam kejadian di Ranau, pagi kelmarin.

Tidak terhenti di situ, suspek mengugut mahu membunuh isterinya menyebabkan mangsa yang bimbang keselamatan diri serta anak membuat laporan polis, 4.17 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah, berkata kejadian berlaku di rumah pasangan itu di sebuah kampung di Ranau, 7 pagi kelmarin, apabila berlaku perselisihan faham dipercayai masalah rumah tangga.

“Akibat masalah tidak dapat diselesaikan dengan baik, suspek dikatakan tidak dapat mengawal diri lalu memukul isterinya dengan tangan sehingga cedera di lengan kanan dan leher, selain bengkak di dahi dan lebam di lutut.

“Suspek kemudian mengugut bunuh menyebabkan mangsa sangat takut dan bimbangkan keselamatan diri serta anaknya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Farhan berkata, ketika kejadian itu, mangsa mengesyaki suaminya itu berada dalam pengaruh dadah.

Beliau berkata, berikutan laporan polis dibuat mangsa, anggota polis menahan suspek terbabit dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki berusia 34 tahun itu positif dadah jenis Methamphitamine.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 3:11 PM