KEADAAN bas yang remuk selepas berlanggar dengan kereta di Kilometer 64.4 Lebuhraya Senai - Desaru. -Foto IHSAN BOMBA DAN PENYELAMAT
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


LELAKI maut apabila Honda Civic dipandunya bertembung dengan bas ekspres di Kilometer 64.4 Lebuhraya Senai - Desaru, Kota Tinggi, malam tadi.

Dalam kejadian 10.40 malam itu, pemandu kereta, Ong Zhao Tuang, 28, yang dipercayai bekerja sebagai pekerja binaan am maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan itu berlaku apabila pemandu kereta dari arah Senai menghala ke Bandar Penawar gagal memotong kenderaan di hadapannya.

“Kereta dipandu lelaki beralamat di Port Dickson, Negeri Sembilan itu kemudian memasuki laluan bertentangan, lalu bertembung dengan bas ekspres dari arah Bandar Penawar menghala ke Senai.


ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta selepas bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 64.4 Lebuhraya Senai - Desaru. -Foto IHSAN BOMBA DAN PENYELAMAT

“Akibat kemalangan itu, pemandu kereta maut di tempat kejadian disebabkan kecederaan parah di kepala, manakala pemandu dan penumpang bas seramai 30 orang tidak cedera,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, seramai tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar bergegas ke lokasi selepas mendapat maklumat terdapat mangsa tersepit dalam kenderaannya.

Pemandu kereta yang tersepit itu kemudian dikeluarkan oleh pihak bomba, namun disahkan sudah meninggal dunia.

Operasi menyelamat kemudian ditamatkan pada 11.32 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 1:40 PM