Petah Wazzan Iskandar
wazzan@nstp.com.my


MENINGKATKAN keselesaan penghuni rumah flet antara manifesto calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Datuk Yoo Wei How, jika beliau diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Yoo berkata sedemikian selepas mendapati banyak flet dalam parlimen yang ditandinginya memerlukan perhatian khusus bagi memastikan keselesaan rakyat dapat diperbaiki.

Katanya, sebuah jawatankuasa khas akan ditubuhkan membabitkan pelbagai pihak berkepentingan, sekali gus menjayakan usaha memperkasakan penempatan flet.

"Apabila menjadi Ahli Parlimen, sudah pasti saya mempunyai akses yang mudah untuk mendapatkan nasihat, bantuan dan mungkin peruntukkan khas dari kerajaan negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) malah mempunyai peruntukan sepanjang lima tahun.

"Tempoh lima tahun membolehkan saya menyelesaikan semua isu yang berbangkit membabitkan flet kerana setiap flet mempunyai masalah yang berbeza dan memerlukan pendekatan tertentu. Sudah pastinya, ia akan memerlukan kerjasama semua pihak dan komuniti setempat.

"Masalah yang timbul tidak sama... ada yang mengalami masalah kumbahan, sampah sarap, bangunan uzur, sistem pendawaian, pengairan dan pengurusan. Maka, apabila adanya jawatankuasa yang dipengerusikan saya sendiri, semua masalah itu pastinya dapat diselesaikan dalam tempoh sepenggal," katanya.


CALON BN Parlimen Alor Setar, Datuk Yoo Wei How ketika hadir pada Program Santai Bersama Pengundi di Flat Taman Seri Gemilang. FOTO NSTP/SHARUL HAFIZ ZAM

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Santai dengan penduduk Flet Sri Gemilang di Alor Setar, malam tadi.

Mengulas lanjut, Yoo berkata, pihaknya berharap rakyat membuat pilihan yang bijak kerana memilih pihak luar sebagai wakil memberi kesan negatif seperti lima tahun kebelakangan ini.

"Pemimpin luar tidak dapat membantu tetapi apabila memilih pemimpin dari Barisan Nasional (BN) dan dia berasal dari sini, sudah pasti masalah setempat dapat diatasi.

“Malah, pelbagai pembangunan dapat dilakukan kerana menerima peruntukan dari Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Mei 2018 @ 12:55 PM