ANGGOTA bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra memadam sisa kebakaran di Pekan Jitra. FOTO NSTP/ZULIATY ZULKIFFLI
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


EMPAT kenderaan milik pelanggan yang sedang dibaiki, hangus dalam kebakaran memusnahkan dua bengkel kenderaan di Pekan Jitra 3, di Jitra, hari ini.

Kejadian berlaku pada 7 pagi itu turut menyebabkan dua motosikal yang diletakkan di dalam salah satu daripada premis terbabit, terbakar.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Bustan Karudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, jam 7.21 pagi.

Beliau berkata, susulan itu, dua jentera dan sebuah Jentera Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dikejarkan ke lokasi.

“Sebaik tiba, kita dapati dua bengkel kenderaan terbakar. Struktur kayu menyebabkan api merebak dengan cepat, namun tindakan pantas bomba menyelamatkan tiga lagi unit bengkel daripada musnah,” katanya.

Bustan berkata, api berjaya dikawal pada 7.44 pagi dan dipadamkan sepenuhnya, 9 pagi.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, penyewa bengkel, Eng Choon Liang, 37, berkata, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi bapa saudaranya.

Katanya, dia bergegas ke lokasi dan mendapati bengkel keretanya itu musnah bersama-sama empat kereta.

"Semua kereta itu dihantar pelanggan sejak dua dan tiga hari lalu, yang mana sepatutnya sudah siap untuk dihantar kepada pemiliknya.

"Kali terakhir, kami beroperasi jam 8 malam tadi, tetapi tak sangka kebakaran ini berlaku pada pagi. Ia turut menyebabkan banyak barangan dalam bengkel musnah," katanya.

Eng berkata, dia menyewa bengkel itu sejak 14 tahun lalu dan mempunyai tiga pekerja.

“Bagaimanapun, ketika kejadian, tiada sesiapa di situ kerana bengkel dibuka jam 10 pagi,” katanya yang mendakwa kerugian lebih RM100,000 akibat kebakaran terbabit.

Sementara itu, calon Barisan Nasional (BN) DUN Jitra, Datuk Aminuddin Omar, turut meluangkan masa singgah ke lokasi kejadian sejurus dimaklumkan mengenai kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 2:09 PM