ANGGOTA bomba mengangkat mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu di kawasan ladang kelapa sawit dekat Kampung Danau Melikin, Serian. - FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi
mdroji@nstp.com.my


SELEPAS lima hari dilaporkan hilang di kawasan hutan berdekatan rumahnya di Kampung Danau Melikin, Serian, seorang lelaki kurang siuman berusia 41 tahun ditemui mati, hari ini.

Mayat Sadang Kanjah, ditemui warga Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit berhampiran pada 9.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 1.6 kilometer dari rumahnya.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut bagi mengenal pasti punca kematiannya.

“Berdasarkan keterangan keluarganya, mangsa disedari hilang pada 27 April lalu dan laporan dibuat di Balai Polis Serian.

“Bagaimanapun, bomba hanya dimaklumkan mengenainya pada 9.07 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata, menerima maklumat itu, bomba melancarkan gerakan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan hutan dan ladang kelapa sawit, mulai malam tadi.

Berikutan penemuan mayat mangsa, operasi SAR dihentikan pada 11.55 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 1:51 PM