GAMBAR hiasan
Junaidi Ladjana
junaidi_ladjana@nstp.com.my


LELAKI maut, manakala dua lagi cedera akibat ditetak dengan parang oleh rakan sekerja mereka di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Mas, dekat Kinabatangan, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 malam itu, Buddin Beddu, 47, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Sungai Segama, akibat empat tetakan di bahagian kepala.

Farhana Musa, 27, parah di bahagian kepala, manakala, Ismail Santoro, 33, lebam di kepala dan mereka kini dirawat di Hospital Lahad Datu.

Difahamkan, semua mangsa tinggal serumah bersama suspek dan tiada hubungan kekeluargaan.

Menurut sumber, ketika kejadian, dua mangsa yang cedera berada di dalam bilik tidur sebelum terjaga apabila pintu bilik mereka diketuk.

"Mereka kemudian membuka pintu dan suspek terus menyerang dengan melibas parang ke arah mangsa wanita. Rakannya kemudian menarik tangan wanita itu, namun tetakan suspek terkena pada bahagian kepala wanita terbabit.

"Bagaimanapun, wanita itu sempat keluar meminta bantuan, manakala rakannya bergelut dengan suspek sebelum berjaya melepaskan diri.

"Seorang lagi mangsa (Buddin) pula sudah terbaring di ruang tamu dengan berlumuran darah dipercayai ditetak oleh suspek," katanya, hari ini.

Sumber berkata, tidak lama selepas itu, pegawai keselamatan di ladang berkenaan tiba dan menenangkan keadaan.

Katanya, suspek berusia 35 tahun ditahan dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Suspek dan ketiga-tiga mangsa mempunyai hubungan baik dan dipercayai pergaduhan itu berlaku kerana suspek disyaki mengalami gangguan mental," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat ketika dihubungi berkata, pihaknya melakukan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 8:45 AM