Zulkifli menunjukkan keadaan rumahnya yang rosak selepas dilanda ribut.
HM Digital

Yan: Lima rumah termasuk kediaman ikon penyokong bola sepak Kedah, Zulkifli Hashim, 39, atau lebih dikenali sebagai Puaka Jerai di Pekan Sungai Yan, di sini, rosak teruk selepas dilanda ribut, jam 7.30 pagi semalam.

Difahamkan antara kediaman terjejas terletak di Kampung Pekan Sungai Yan, Kampung Batu 20, Teroi dan Pekan Yan.

Zulkifli berkata, ketika kejadian dia keluar menghantar anak sulung, Nur Syazliana Umairah, 7, ke sekolah dan hanya
isteri, Nafisah Md Rozki,
36, dan seorang lagi anak mereka, Muhammad Luqman Hakim, 4, berada di rumah.

Katanya, sebaik kembali ke rumah, dia mendapati bumbung tiada manakala isteri dan anaknya berlindung di kediaman saudara berdekatan.

“Saya terkejut melihat bumbung hilang dan segera mencari anak dan isteri. Saya bersyukur mereka selamat,” katanya.

Sementara itu, Nafisah berkata, ketika kejadian
dia mengemas rumah dan dikejutkan dengan bunyi angin kuat sehingga bumbung rumah terangkat dan diterbangkan angin.

Katanya, dia segera membawa anaknya keluar berlindung di rumah
abang yang terletak berdekatan.

“Dalam keadaan hujan lebat, saya bergegas membawa anak ke rumah abang. Saya keluar semula untuk melihat keadaan kediaman saya dan mendapati bumbung tiada.

“Semua perabot dan barangan basah terkena air hujan,” katanya.

Dia berkata, ini kali ketiga rumah mereka terjejas akibat ribut dan
kali ini paling teruk.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mei 2018 @ 5:38 AM