Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


Di mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi. Peribahasa ini sesuai menggambarkan beberapa calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang menyambung legasi keluarga terbabit dalam politik.

Walaupun mewakili parti politik berbeza, matlamat tetap sama iaitu memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Ada di antara mereka menceburkan diri dalam kancah politik kerana mencontohi idola masing–masing tidak kira ibu bapa dan tidak kurang juga mahu identiti tersendiri.

Namun, apa juga usaha, tindakan dan tujuan calon itu ia semestinya akan dinyatakan menerusi legasi keluarga masing–masing.

Nurul Izzah Anwar

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar pula mewarisi legasi ibu bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengakui sebelum ini bahawa pembabitannya dalam politik ialah warisan bapanya.

Namun anak sulung kepada pemimpin pembangkang itu menegaskan budaya ‘politik anak-beranak’ dalam parti itu membabitkan ahli keluarganya tidak boleh dianggap amalan nepotisme.

“Saya boleh katakan begini, dalam mana-mana perjuangan memang ada warisannya.

“Sudah pasti kalau nak teruskan perjuangan, tentunya kita mahu anak kita mewarisi idea perjuangan itu,” katanya.


NURUL Izzah.

Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh Deo

Tiga beradik, Jagdeep Singh Deo, Gobind Singh Deo dan Ramkarpal Singh Deo yang masing–masing bertanding di DUN Dato Keramat, Pulau Pinang, Parlimen Puchong, Selangor dan kerusi parlimen Bukit Gelugor meneruskan legasi bapa mereka, Karpal Singh Deo.

Mereka yang semuanya memilih profesion sebagai peguam seperti bapa mereka turut mencontohi jejak mendiang menyertai parti DAP sebelum bertanding untuk parti berkenaan.

Karpal Singh Ram Singh yang meninggal dunia akibat kemalangan pada 2014 adalah ahli politik dan peguam di Malaysia.


GOBIND (kiri), Jagdeep dan Ramkarpal.

Yamani Hafez Musa

Ketua Pemuda UMNO Sabah, Yamani Hafez Musa membuat penampilan sulungnya dalam PRU14 apabila bertanding di kerusi Parlimen Sipitang.

Yamani, 41, ialah anak kelima kepada Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang memegang jawatan itu sejak 2003.

Sebagai anak, beliau tidak mahu kepemimpinan dan ketokohan disamakan dengan bapanya, sebaliknya mahu memiliki daya kepemimpinan tersendiri.

Hafez dicadangkan sebagai calon BN bukan kerana bapanya Ketua Menteri, tetapi dilihat sebagai pemimpin muda yang mampu menjalankan tanggungjawabnya dengan baik dan beliau juga aktif dalam pembentukan Program Transformasi Nasional 2050 (TN50).


YAMANI Hafez.

Nik Omar Nik Aziz dan Nik Abduh Nik Aziz

Dua anak bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pula bertanding dalam parti yang berbeza pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anak kedua daripada 10 beradik iaitu Nik Omar Nik Aziz, 53, membuat kejutan di pusat penamaan Pengkalan Chepa apabila bertanding bagi kerusi DUN Chempaka sebagai calon Parti Amanah Negara (Amanah) di bawah Pakatan Harapan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh adalah anak keempat Allahyarham meneruskan perjuangan bapanya dengan bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Bachok.

Penyertaan mereka yang berlainan ideologi politik bukan perkara baru dalam dunia politik malah menjadi kelaziman setiap kali PRU diadakan.

Kedua-dua mereka cuba menyaingi ketokohan bapa mereka yang memiliki imej sebagai seorang ulama.


NIK Omar (kiri) dan Nik Abduh.

Chua Tee Yong

Naib Presiden MCA, Datuk Chua Tee Yong adalah anak kedua kepada Datuk Dr Chua Soi Lek dan memenangi kerusi parlimen Labis pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12).

Tee Yong yang juga akauntan pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Timbalan Menteri Kewangan.

Meskipun mengikuti jejak ayahnya ke dalam dunia politik namun Tee Yong pernah menyatakan sebelum ini sekiranya bapa ingin bertanding dalam pemilihan parti, dia sanggup mengundurkan diri bagi memberi laluan kepada bapanya.


TEE Yong.

Afnan Hamimi Taib Azamudden

Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudden pula bertanding sebagai calon PAS bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh.

Afnan adalah anak kepada Datuk Taib Azamudden Mohd Taib, pemimpin parti PAS dan mantan Ahli Parlimen Baling, Kedah.

Di peringkat parti, beliau adalah Ahli Majlis Syura Ulamak PAS dan mantan Imam Besar Masjid Negara.


AFNAN Hamimi.

Muhammad Khalil Abdul Hadi

Ketua Pemuda PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi memiliki pemahaman politik yang sama dengan bapanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Muhammad Khalil adalah anak sulung Abdul Hadi, buat julung kali bertanding dalam PRU14 di DUN Batu Buruk, Terengganu.

Beliau yang berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang pengajian Islam di Universiti Porthsmouth, United Kingdom berkata, ayahnya tidak memberi apa-apa nasihat yang spesifik kepadanya sebelum terbabit dengan politik.

“Tidak ada nasihat spesifik dan saya percaya bahawa sudah tentu apabila bercakap soal hubungan anak dengan ayah sudah tentu tidak dapat dipisahkan mesti ada kesannya. Saya mengakui memang apa yang saya lalui bersama ayah memang ada kesannya.

“Sebagai contoh saya berada dalam Pemuda PAS masih ada ruang lain boleh kita ceburi khususnya mendekati anak-anak muda bukan semata-mata berniat untuk menarik sokongan, tetapi dalam masa yang sama kita mahu mereka berikan sumbangan kepada Islam dan agama,” katanya.


MUHAMMAD Khalil.

Mukhriz Mahathir

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, (PPBM) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad ialah idolanya.

Anak kelima bekas Perdana Menteri Malaysia itu berkata, memang sejak kecil dia bersama adik beradiknya dididik untuk menolong rakyat dan masing–masing menggunakan pendekatan sendiri termasuk bergiat aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO), persatuan amal dan lain–lain.

“Saya memilih dunia politik selepas melihat impaknya melalui ayah saya yang mula dengan peringkat Parlimen dan bersara sebagai perdana menteri.

“Namun sepanjang dia memegang jawatan dalam parti dan kerajaan, dia tidak mendorong saya terbabit sama bagi mengelak timbulnya konflik kepentingan,” katanya yang pernah menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia antara 2009 hingga 2013 sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Kedah pada 2013.

Beliau yang terpaksa menunggu sehingga bapanya bersara sebelum bergiat aktif dalam politik memilih parti UMNO pada awal perjuangannya sebelum beralih ke PPBM.


MUKHRIZ.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 12:17 PM