ANTARA individu yang ditahan AADK Padang Terap kerana disyaki terbabit dengan penagihan dadah dalam operasi di sekitar Padang Terap sejak semalam. FOTO NSTP/IHSAN AADK
Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


SEMBILAN individu dipercayai penagih dadah ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Padang Terap, dalam tiga serbuan berasingan di Padang Terap.

Mereka yang berusia antara 17 hingga 40 tahun itu ditahan dalam serbuan sejak 11 pagi semalam sehingga 2 pagi, hari ini.

Ketua AADK Padang Terap, Zainol Abidin Ismail berkata, bertindak hasil maklumat awam dan risikan, pihaknya menyerbu beberapa lokasi di sekitar daerah berkenaan.

Beliau berkata, ia termasuk kawasan Mukim Pedu, Padang Nyior, Bukit Indin, Bendang Raja, KEDA Semeliang dan Kampung Tanjung.

“Operasi ini terbahagi kepada tiga fasa serbuan iaitu yang pertama di Mukim Pedu dan Padang Nyior yang berjaya menahan empat individu.

"Serbuan seterusnya di sebuah rumah di Bendang Raja dengan satu tangkapan, manakala di lokasi akhir iaitu di Bukit Indin, KEDA Semeliang dan Kampung Tanjung, kita berjaya menahan empat individu," katanya.

Zainol Abidin berkata, pihaknya terpaksa meredah hujan lebat dalam melaksanakan serbuan dan menangkap semua individu berkenaan.

"Semua yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Daerah Padang Terap untuk tindakan lanjut.

“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati individu yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine," katanya.

Menurutnya, semua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 11:12 AM