ANUAR Tahir
Amin Ridzuan Ishak
aminridzuan@nstp.com.my

Temerloh: Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Parlimen Temerloh, Anuar Tahir mengakui berat hati bertanding di kawasan itu atas beberapa faktor termasuk kedudukan jauh dari kediamannya di Selangor.

Anuar yang juga Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (PAN) berkata, dia mengetahui mengenai keputusan kepemimpinan tertinggi parti itu meletakkannya bertanding di Parlimen Temerloh pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebulan lalu.

“Saya tidak pilih ke sini, sebulan lalu parti memutuskan semua pemimpin nasional mesti (bertanding) di Parlimen... kita (PAN) hanya mempunyai 27 kerusi termasuk satu di Pahang (Parlimen Temerloh) dan saya diarahkan ke situ.

“Saya berat hati mulanya, biasanya orang suka bertanding dekat kawasan rumahnya dan saya tinggal di Selangor... tetapi selepas itu saya berfikir sebenarnya perjalanan ke Temerloh hanya satu jam setengah dari Kuala Lumpur.

“Saya juga tertarik bertanding di sini kerana mengagumi sejarah Temerloh dan ramai tokoh dilahirkan seperti Datuk Bahaman dan Pak Sako (Ishak Muhammad),” katanya.

Anuar mengulas isu beliau sebagai calon bukan anak tempatan atau tinggal di luar kawasan bertanding di Parlimen Temerloh yang mungkin menyebabkannya sukar berkhidmat seperti penyandangnya, Nasrudin Hassan daripada PAS sebelum ini.

Parlimen Temerloh menyaksikan pertandingan lima penjuru antara Anuar, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang mewakili Barisan Nasional (BN), Md Jusoh Darus (PAS) dan dua calon Bebas, Fakhrudin Abu Hanifah serta Khaidir Ahmad.

Anuar yang berasal dari Perlis mula bertanding dalam pilihan raya pada 1999 di Parlimen Padang Besar di bawah tiket Parti Keadilan Nasional (kini PKR) sebelum menyertai PAS dan diletakkan sebagai calon di kerusi DUN di negeri itu pada 2004, 2008 dan 2013 namun tewas.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, isu calon bukan anak tempatan tidak seharusnya dijadikan polemik kerana perlembagaan serta undang-undang membenarkan perkara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 April 2018 @ 8:39 AM