IZAM (tengah) dan Siti Aishah (kiri) menidurkan Fatin Awadah di Pusat Pemindahan Sementara di SK Batu Gajah. FOTO Khairunisah Lokman
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@nstp.com.my


“Memang kami sekeluarga bernasib baik, kalau tidak sudah pasti anak perempuan bongsu kami yang berusia tujuh bulan cedera dihempap runtuhan bumbung,” kata Izam Atan, 39, mangsa ribut di Taman Batu Gajah Pasir, Sungai Rambai, kelmarin.

Izam berkata, kejadian itu mengakibatkan bumbung rumahnya runtuh.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, se120 rumah di kawasan Sungai Rambai turut mengalami kerosakan akibat kejadian ribut berkenaan.

Bapa kepada empat cahaya mata berusia 12 tahun hingga tujuh bulan itu berkata, kebiasaannya dia dan isteri, Siti Aishah Md Saad, 36, akan meletakkan anak perempuan bongsunya, Fatin Awadah Izam di depan televisyen di ruang tamu.

“Ketika kejadian, Fatin Awadah dipangku abangnya. Memang tidak dapat bayangkan kalau anak kami dihempap bumbung.

“Ketika itu cuaca hujan lebat bersama ribut petir, sebelum tiba-tiba bunyi dentuman kuat yang menyebabkan bumbung rumah kami jatuh,” katanya ketika ditemui NSTP, di Jasin.

Katanya, kejadian berlaku dengan pantas dan dia sekeluarga juga sempat bergegas menyelamatkan perkakasan elektrik dan barangan rumah lain.

“Buntu juga memikirkan nasib kami sekeluarga kerana mana hendak mencari duit membaiki kerosakan rumah.

“Tetapi, pada masa sama saya bersyukur semua ahli keluarga selamat dan tiada yang tercedera,” katanya.

Seorang lagi mangsa Mazelah Alias, 55, berkata, dia terkejut apabila melihat bumbung bahagian depan rumahnya runtuh sebaik tiba dari tempat kerja.

“Sebelum itu jiran ada memaklumkan yang rumah terkena ribut, tetapi tidak sangka sampai bumbung diterbangkan angin,” katanya yang baharu membelanjakan RM10,000 bagi kerja pengubahsuaian rumah pada Februari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 4:34 PM