CALON BN DUN N42 Sungai Sibuga Tan Sri Musa Aman (tengah) bersama Juslie Ajirul (kiri) dan Zakaria (kanan) mengangkat tangan selepas diumumkan layak bertanding bagi Pilihan Raya Umum ke-14 pada proses penamaan calon di Pusat Penamaan Calon di Dewan Serbaguna Libaran. -Foto BERNAMA
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


PERTUKARAN kerusi antara penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum dan penyandang kerusi Parlimen Libaran dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sudah dipersetujui lebih awal.

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Libaran, Datuk Zakaria Edris, berkata pertukaran kerusi itu hanya atas faktor beliau dan calon BN DUN Gum-Gum, Datuk Juslie Ajirol sudah berada dalam tempoh lama dalam kawasan berkenaan.

Katanya, beliau sudah tiga penggal di kerusi DUN Gum-Gum, manakala Juslie selama empat penggal sebagai Ahli Parlimen Libaran.

“Kami sudah lama berbincang untuk bertukar kerusi bagi membolehkan lebih banyak pembangunan dibawa ke kawasan ini.

“Selaku calon Ahli Parlimen, saya sudah merancang akan membantu rakyat untuk membawa pembangunan lebih banyak di sini,” katanya pada Program Rakyat Dihatiku Bersama Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman di Kampung Nelayan, Batu Putih di Sandakan, malam tadi.

Pada PRU-14, Zakaria bakal berdepan saingan daripada Irwan Shah Mustapa dari Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan Alfian Mansyur dari Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT).

Sementara itu, Musa berkata, banyak yang sudah dibangunkan kerajaan untuk rakyat dan memerlukan kesinambungan pada PRU-14 agar lebih banyak perancangan dapat dilaksanakan.

Katanya, rakyat khususnya negeri ini memerlukan kerajaan dan pemimpin yang baik hati serta prihatin terhadap keperluan negeri ini yang mempunyai keluasan lebih besar berbanding negeri lain.

“Kita ada rekod, bukanlah terlalu baik, namun kita kerajaan bertanggungjawab dan banyak lagi peruntukan yang kita perlukan untuk membangunkan negeri ini,” katanya.

Musa yang juga calon BN bagi kerusi DUN Sungai Sibuga berkata, banyak masalah penduduk di kampung itu sudah diselesaikan termasuk isu ladang khinzir yang membelenggu penduduk sebelum dipindahkan selepas beliau menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 April 2018 @ 8:27 AM