(Dari kiri) Liew, Sarifuddin dan Norsah.
Avila Geraldine
avila@nstp.com.my


PARTI Amanah Negara (PAN) ‘mengisytiharkan perang’ ke atas Parti Warisan Sabah apabila parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu didakwa memungkiri janji dengan meletakkan calon di kerusi milik PAN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pengerusi PAN Sabah, Hamzah Abdullah mendakwa kerusi Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai diperuntukkan untuk parti itu berdasarkan persetujuan yang dicapai oleh pakatan pembangkang di peringkat nasional.

Bagaimanapun, Warisan meletakkan Datuk VK Liew untuk bertanding di kerusi Batu Sapi dan Sarifuddin Hata di Merotai.

“Warisan tidak mengotakan persetujuan yang dibuat dan menyukarkan pelbagai pihak di Sabah. Sekiranya mereka ikhlas untuk membentuk kerajaan seterusnya, mereka seharusnya boleh berkompromi,” katanya.

Warisan mengemukakan 16 calon parlimen dan 44 calon DUN, sekali gus mengambil kerusi paling banyak pada pilihan raya kali ini.

“Mereka seolah-olah sanggup bergaduh sesama sendiri, namun, rakyat akan mengadili mereka,” katanya.

Hamzah turut menggesa Warisan untuk menarik balik calon mereka memandangkan PAN hanya bertanding dua kerusi di Sabah.

“Kita akan keluar dan berdepan dengan mereka. Kita tidak akan menarik diri daripada kedua-dua kerusi terbabit.

Hamzah akan bertanding di Batu Sapi sekali gus akan mencabar Liew, Norsah Bongsu (PAS) dan penyandang Linda Tsen Thau Lin (BN).

Katanya, Warisan tidak mempunyai peluang untuk menang kerusi parlimen, memandangkan beliau bukan anak jati Batu Sapi. Malah, Liew turut kalah ketika bertanding pada pilihan raya lalu di bawah tiket BN selain dianggap sebagai calon kitar semula oleh penduduk tempatan.

Di Merotai, calon PAN, Arbaani Akum bakal berdepan persaingan tujuh penjuru.

Calon lain ialah Sarifuddin Ahmad Dullah (PAS), Lim Thing Khai (BN), Sharatha Masyaroh John Ridwan Lincon (Parti Harapan Rakyat Sabah) dan Mohd Nasir Sumadi (Usno).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 5:31 PM