Recqueal Raimi
cnews@nstp.com.my


“Saya tidak guna paras rupa untuk memancing undi.”

Ratu cantik atau Unduk Ngadau Pesta Kaamatan 2007 peringkat Sabah, Jo Anna Henley Rampas, 29, yang menjadi calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu, sedar dirinya menjadi tumpuan sebaik melangkah menghantar borang pencalonan di Dewan Sri Sulaman di Tuaran, hari ini.

Timbalan Ketua Wirawati WARISAN itu akan menentang penyandang kerusi DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) mewakili Barisan Nasional (BN) manakala Terence Sinti dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Gaibin Ransoi dari Parti Cinta Sabah (PCS).

Jo Anna yang berketurunan Dusun campuran Britain, mengakui pembabitannya dalam politik adalah menyambung legasi keluarganya.

“Datuk (Rampas) sebelah ibu saya pernah menjadi pemimpin masyarakat di Kiulu manakala bapa saudara saya, Louis Rampas adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (dari BN) di Kiulu selama tiga penggal.

“Ibu saya juga pernah bertanding sebagai calon BN pada 1994, maka mungkin ini antara sebab saya menyertai politik,” katanya ketika ditemui NSTP.

Jo Anna dilahirkan di Kota Kinabalu dan dibesarkan oleh neneknya di Kampung Poturidong, Kiulu sehingga berusia sembilan tahun sebelum berpindah ke Penampang dan Kuala Lumpur.

“Saya harap orang tidak menilai berdasarkan rupa sehingga dikatakan memancing undi,” katanya.

Sementara itu, Joniston mahu wakil rakyat dinilai berdasarkan usahanya melalui apa juga tindakan untuk membantu rakyat tidak kira melalui suara, cadangan dan jalan penyelesaian, bukan kepada paras rupa.

“Sebagai anak jati Kiulu, saya memahami masalah dan keperluan penduduk termasuk saya sendiri yang berasal dari keluarga daif, pernah menoreh getah, menanam padi malah berjalan jauh ke sekolah,” katanya yang akan mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua.

DUN Kiulu terletak dalam Parlimen Tuaran dengan 12,978 pengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 1:33 PM
TUARAN 28 APRIL 2018. Calon Barisan Nasional N.11 Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai (kanan) bersalam dengan calon dengan bekas Unduk Ngadau 2017, Jo Anna Sue Henley Rampas dari Parti Warisan N11 Kiulu selepas menyerahkan borang penamaan calon, di Dewan Sri Sulaman, di Tuaran. STR/LANO LAN.