ABDUL Hadi Awang
Ifwan Tun Tuah
ifwan@nstp.com.my

Seremban: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa sebagai dua individu penting yang menghalang pentadbiran Islam dilaksanakan di Kelantan dan Terengganu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dan Terengganu di bawah pentadbiran PAS meluluskan Undang-Undang Jenayah Syariah yang bersifat mendidik masyarakat, masing-masing pada awal serta penghujung 1990-an.

Beliau berkata, bagaimanapun mereka tidak dapat melaksanakannya kerana ditentang Dr Mahathir dan Anwar yang ketika itu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

“Tiba-tiba bila dah lulus, Dr Mahathir hantar surat kepada Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat memberi amaran supaya jangan laksanakan...kalau laksanakan undang-undang itu, Kerajaan Pusat akan bertindak.

“Oleh kerana kita mahu memelihara hubungan, kita bawa undang-undang itu ke Parlimen. Saya sendiri membawa usul dan membentangkan Rang Undang-Undang Persendirian, namun kita disekat dan dihalang,” katanya selepas ceramah perdana jelajah Presiden PAS dan munajat PRU14 di sini, malam kelmarin.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mustaffa Daharun.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perjuangan PAS berhubung undang-undang berkenaan akhirnya menampakkan hasil apabila kerajaan Persekutuan ketika ini, sedia berunding dan bersetuju dengan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU 355) untuk dibentangkan di Parlimen.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 April 2018 @ 4:38 AM