Mohd Hasbi Sidek
mohd.hasbi@nstp.com.my


TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) menyelar tindakan seorang netizen yang memuatnaik gambar di laman Facebook (FB) mendakwa kapal selam dipamerkan di Muzium Melaka, sebagai satu pembaziran wang rakyat.

Panglima Angkatan Kapal Selam TLDM dalam satu kenyataan melalui laman FB rasmi TLDM berkata, pihaknya kecewa dengan fitnah berkenaan kerana ia turut mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, kapal selam dipamerkan di muzium berkenaan adalah pemberian kerajaan Perancis untuk dijadikan bahan pameran sebagai salah satu sejarah penubuhan Angkatan Kapal Selam TLDM.

“Kapal selam dipamerkan di Muzium Melaka adalah kapal selam dari kelas Agosta 90 yang terpakai bernama Ouessant. Kapal ini digunakan warga kapal selam TLDM hanya sewaktu latihan di Perancis.

“Kapal selam Ouessant ini diberikan secara percuma oleh kerajaan Perancis untuk dijadikan muzium,” katanya.

Beliau berkata, Kapal Diraja Tunku Abdul Rahman (KD TAR) yang digunakan dalam latihan ketika ini berbeza jenis dengan kapal selam dipamerkan di muzium berkenaan dan secara tidak langsung tidak timbul isu pembaziran wang rakyat.

“Kapal selam KD TAR adalah kapal selam dari kelas berbeza iaitu jenis Scorpone. KD TAR dan KD Tun Razak sedang beroperasi dalam Armada TLDM.

“Kedua-dua kapal selam ini tiada kena mengena langsung dengan kapal selam dipamerkan di Melaka. Kapal selam di Melaka hanyalah sejarah penubuhan Angkatan Kapal Selam TLDM.

“Kami #NavyPeople amat sedih terhadap fitnah yang mengelirukan rakyat,” katanya.

Beberapa hari lalu seorang netizen memuat naik gambar kapal selam dipamerkan di Muzium Melaka dengan keterangan gambar ‘Duit rakyat tersadai di Melaka’.

Bagaimanapun, netizen berkenaan yang dikenal pasti individu pro pembangkang kemudiannya memuatnaik status yang meminta maaf berhubung fitnah berkenaan yang boleh dianggap sebagai berita palsu selepas dikecam orang ramai.

“Saya memohon maaf kepada semua warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), rakan dan pengguna FB atas apa yang dimuatnaik malam tadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 11:30 PM