KETUA Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly (dua dari kiri) bersama selebriti, Fattah Amin dan Fazura sempena pengenalan Mesra Bites di Stesen PETRONAS. - Foto Halim Salleh
Sofyan Rizal Ishak
sofyan.rizal@nstp.com.my


PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) meluaskan tawaran kombo sarapannya iaitu Mornings@Mesra dengan menambah rangkaian roti terbaru dikenali Mesra Bites yang terdiri daripada roti keju, sambal ikan bilis, sambal udang dan kaya yang dihasilkan khusus untuk Kedai Mesra.

Pengenalan Mesra Bites itu akan menyaksikan kombo sarapan Mornings@Mesra kini dibahagikan kepada tiga menu iaitu Big Bites, Light Bites dan Happy Bites bagi memenuhi keperluan pelanggan yang cenderung kepada makanan berat dan ringan serta kanak-kanak.

Ketua Perniagaan Runcit PDB, Aadrin Azly berkata, kombo itu mendapat sambutan menggalakkan sejak mula diperkenalkan pada 2017 dan ia membantu syarikat mencatatkan peningkatan 27 hingga 30 peratus dalam jualan makanan pada tahun lalu.

“Berdasarkan kepada sambutan itu, kami mengambil keputusan untuk meluaskan kombo sarapan bagi menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan termasuk makanan boleh dinikmati kanak-kanak,” katanya pada pengenalan menu terbaru Mornings@Mesra di Kuala Lumpur, hari ini.

Kombo sarapan Mornings@Mesra kini boleh didapati di 450 stesen Petronas seluruh negara manakala rangkaian roti Mesra Bites boleh didapati di semua stesen Petronas dan Kedai Mesra di Semenanjung Malaysia pada harga serendah RM3.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 11:19 PM