Ahmad Fakruddin (tiga kanan) bersama Zubir (dua kanan) mengangkat tangan selepas diumumkan akan bertanding diLangkawi. FOTO Sharul Hafiz Zam
Embun Majid
embun.majid@nstp.com.my

PAS Kedah mengisytiharkan Yang Dipertua PAS Langkawi, Zubir Ahmad sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) selepas rakannya dalam Gagasan Sejahtera, Parti Ikatan Bangsa Malaysia menarik diri dari bertanding di kerusi Parlimen panas itu.

Pesuruhjaya PAS Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, keputusan untuk mencalonkan Zubir, 55, dibuat oleh kepimpinan PAS Pusat.

Zubir adalah orang lama PAS Langkawi dan pernah bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hangat tetapi tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, yang mempertahankan kerusi itu untuk penggal kedua pada pilihan raya umum lalu.

Susulan keputusan itu, PAS akan bertanding di semua 15 kerusi Parlimen dan 36 kerusi DUN di Kedah pada PRU-14, 9 Mei ini.

“Kita menerima keputusan Ikatan apabila mereka mengambil keputusan untuk tidak bertanding di Langkawi, jadi kita menampilkan calon kita sendiri.

“Zubir bukan wajah asing di Langkawi dan PAS yakin dia mampu berdepan calon dari BN dan pakatan pembangkang itu,” katanya dalam sidang media di Alor Setar hari ini.

Ikatan dalam sidang media baru-baru ini berkata parti itu tidak akan bertanding di Langkawi, selepas PAS mengumumkan akan memberi laluan kepada parti itu.

Fakhruddin berkata parti itu percaya pencalonan Dr Mahathir untuk kerusi Parlimen Langkawi akan beri kelebihan kepada PAS kerana ia bakal memecah undi UMNO.

Sementara itu, Zubir penuh yakin untuk bertembung dengan dua calon kuat dari BN dan pakatan pembangkang di Langkawi

“Saya percaya situasi politik masa kini akan memihak kepada PAS dalam PRU-14 ini,” katanya

Pada PRU-13, Datuk Nawawi Ahmad dari Barisan Nasional (BN) menang kerusi Parlimen Langkawi selepas menewaskan calon PKR Ahmad Abdullah dan calon bebas Marina Hussein dengan majoriti sebanyak 11,861.

Sementara itu, Ahmad Fakhruddin berkata PAS memutuskan untuk menukar calon bagi kerusi Parlimen Jerai atas masalah teknikal.

Katanya, bekas guru Sabri Azit, 52, bakal menggalas cabaran itu menggantikan Mohamad Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:56 PM