Zuliaty Zulkiffli
cnews@nstp.com.my


KEBERANIANNYA menyahut cabaran menghasilkan kek cawan dengan logo parti politik membawa tuah kepada seorang pengusaha kek dari Yan, Kedah apabila mendapat sambutan menggalakkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Azrul Nizam Azali, 26, dari Kuala Sungai Yan berkata, pada mulanya dia keberatan untuk menerima tempahan itu kerana bimbang tidak dapat memenuhi warna pada hiasan kek cawan seperti logo asal parti.

“Penggunaan warna dalam logo parti perlu tepat disebabkan ia amat sensitif dan pelanggan mungkin tidak berpuas hati dengan kek cawan dihasilkan.

“Saya mengambil masa untuk mencari dan mengkaji warna logo sesuai sebelum membuat beberapa percubaan sehingga berjaya mendapatkan hasil warna seperti dimahukan,” katanya.

Azrul Nizam berkata, dia nekad menyahut cabaran itu memandangkan pilihan raya umum hanya berlangsung lima tahun sekali.

Kejayaan Azrul memenuhi tempahan itu membawa hasil memberangsangkan dalam kehangatan PRU-14 ketika ini selepas memuat-naik gambar kek cawan edisi khas itu.

Menurutnya, setakat ini dia berjaya menyiapkan tempahan 500 kek cawan berlogo pelbagai parti politik.

“Setakat ini ada yang sudah menempah untuk meraikan hari lahir dan sekadar untuk makan di Pusat Daerah Mengundi (PDM) atau markas dan bilik gerakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah Kuala Sungai Yan, Yan, semalam.

Azrul Nizam berkata, dia menjual kek cawan menggunakan krim mentega putar itu mengikut kuantiti dalam kotak disediakan iaitu 25 biji berharga RM50.

Katanya, kebanyakan pelanggan membuat tempahan warna mengikut tema parti masing-masing dan jarang sekali mencampur warna kek untuk tiga parti.

“Tempahan kek cawan PRU-14 ini membuatkan saya tak menang tangan, malah ada yang sudah membuat tempahan ketika hari mengundi 9 Mei nanti.

“Bukan setakat kek cawan, malah saya turut menjual kek seberat satu kilogram berharga RM75 sebiji menggunakan logo tiga parti politik berkenaan.

“Lebih bermakna, saya akan mengundi buat kali pertama pada PRU-14 ini,” katanya.

Azrul Nizam berkata, pelanggan boleh membuat tempahan mengikut citarasa dekorasi masing-masing dengan menyertakan contoh apabila melayari akaun Facebooknya Azrul Nizam Azali.

Menruutnya, dia membuat kek PRU-14 ini hanya sekadar untuk perniagaan dan tidak terbabit secara langsung dengan sebarang parti politik, malah jika ada yang mahu menempah kek dengan hiasan gambar pemimpin politik pilihan mereka, dia akan pertimbangkan.

“Namun saya hanya menerima tempahan kek cawan edisi terhad ini sehingga hari pembuangan undi kerana selepas ini saya akan membuka tempahan hari raya pula,” katanya.

Azrul Nizam sebelum ini pernah menghasilkan kek gergasi sempena Hari Kebangsaan serta 1,500 kek cawan Merdeka dan 24 biji kek bertemakan gambar pemain pasukan Kedah sewaktu layak ke final bola sepak Piala Malaysia, tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 6:31 PM
KEK cawan berlogokan tiga parti politik yang bertanding PRU14 dihasilkan oleh Azrul Nizam Azali. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI